Perak Rekod RM15.75 Bilion … Cermin Keyakinan Pelabur Terhadap Kestabilan Ekonomi Negeri
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kejayaan Negeri Perak merekodkan pencapaian RM15.75 bilion pelaburan mencerminkan keyakinan para pelabur terhadap kestabilan ekonomi di negeri tersebut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, peningkatan jumlah pelaburan tersebut melibatkan 560 projek yang mewujudkan 10,704 peluang pekerjaan.

“Prestasi pelaburan Negeri Perak bagi tahun 2025 yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.
“Perak merekodkan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM15.75 bilion, meningkat berbanding RM8.75 bilion pada tahun 2024.
“Peningkatan jumlah pelaburan ini melibatkan 560 projek serta mewujudkan 10,704 peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perak akan terus berusaha untuk memperkukuhkan ekosistem pelaburan.

“Sektor pembuatan turut terus menjadi penyumbang utama dengan nilai pelaburan RM9.38 bilion, merangkumi 98 projek yang mampu membuka 10,010 peluang pekerjaan.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi dan kestabilan ekonomi Negeri Perak.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Perak akan terus berusaha memperkukuh ekosistem pelaburan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
