Mohd Isam Sampaikan Bantuan Keceriaan, Hargai Warga Emas

GEMAS, 11 Mac – Program Penyampaian Bantuan Keceriaan Warga Emas DUN Gemas menyaksikan seramai 411 warga emas menerima sumbangan dalam majlis yang berlangsung di Felda Jelai 1 dan Felda Jelai 3, dengan kehadiran Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Beliau berkesempatan meluangkan masa bersama warga setempat bagi menyampaikan bantuan kepada golongan warga emas yang berumur 70 tahun ke atas.

Ujarnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menghargai jasa dan pengorbanan golongan berkenaan yang telah banyak menyumbang kepada keluarga serta masyarakat.

“Bantuan ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan melalui platform N9 Digital, sebagai tanda penghargaan kepada warga emas berumur 70 tahun ke atas. Sumbangan ini diharapkan dapat sedikit menceriakan mereka serta membantu meringankan keperluan harian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan warga emas merupakan kelompok yang telah banyak berjasa sepanjang kehidupan mereka dan sewajarnya dihargai oleh masyarakat.

“Golongan warga emas telah banyak berjasa kepada keluarga dan masyarakat. Semoga mereka semua dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur serta sentiasa berada dalam rahmat Allah,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai khususnya anak-anak supaya membantu ibu bapa mereka yang berumur 70 tahun ke atas untuk mendaftar melalui platform N9 Digital bagi membolehkan mereka menerima manfaat yang disediakan oleh kerajaan negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO