KKR Laksana Pemasangan Lampu Jalan Di Kawasan Gelap Dan Berbahaya – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kementerian Kerja Raya bersama-sama Jabatan Kerja Raya sentiasa komited dalam memastikan tahap keadaan jalan sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa sepanjang tahun.

Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, isu keselamatan jalan raya khususnya yang melibatkan Jalan Persekutuan di seluruh negara sangat diambil berat.

“Kementerian ini melalui Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya ada melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap.

“Bagi kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai rekod kemalangan yang dikenal pasti, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala kecil, dan tertumpu kepada lokasi yang memenuhi keperluan pencahayaan.

“Berdasarkan rekod dari tahun 2023 sehingga 2025, sebanyak 61 lokasi di Jalan Persekutuan di Negeri Sabah telah siap pemasangan lampu jalan di bawah program ini dengan kos berjumlah RM6.4 juta,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Senator Datuk Nelson W Angang yang bertanya senarai kawasan jalan dan kampung di Sabah yang telah dipasang lampu solar mengikut kuota projek Persekutuan dan apakah sebab masih terdapat jalan raya utama yang terlalu gelap.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata pada tahun 2026, sebanyak RM28.15 juta telah diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan di 292 lokasi Jalan Persekutuan terpilih di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah tersebut, RM2.2 juta diperuntukkan bagi 22 lokasi di Jalan Persekutuan di Negeri Sabah. Arahan Kerja telah dikeluarkan pada 12 Januari 2026 kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dan kerja-kerja fizikal perlu disiapkan dalam tahun ini juga.

“Bagi jalan yang beroperasi tanpa pencahayaan, Kementerian ini ada menyediakan kemudahan fasiliti keselamatan jalan raya yang mematuhi spesifikasi seperti garisan jalan, papan tanda jalan yang sesuai serta perabot jalan seperti road studs dan delineator post di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku kemalangan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

“Fasiliti keselamatan ini berfungsi untuk mengenal pasti geometri jalan, sempadan lorong serta halangan di hadapan melalui pantulan cahaya lampu kenderaan, sekali gus memastikan tahap kebolehlihatan (visibility) yang optimum walaupun tanpa pencahayaan lampu jalan,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, pengoperasian jalan tanpa lampu adalah selamat selagi kemudahan fasiliti keselamatan ini berada dalam keadaan baik.

“Lampu jalan akan dipasang sebagai intervensi tambahan sekiranya memenuhi justifikasi teknikal seperti di persimpangan, selekoh berbahaya, jambatan atau elemen fasiliti keselamatan tidak lagi mencukupi untuk menangani risiko di lokasi tersebut.

“Pemantauan di lokasi-lokasi yang berisiko berlaku kemalangan akan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak Kementerian dan Jabatan Kerja Raya,” ujarnya.

Langkah ini merangkumi kawasan kemalangan yang telah dipasang lampu jalan, di samping usaha mengenal pasti lokasi-lokasi baharu bagi pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap di seluruh Malaysia, ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO