UMNO Johor Terus Kukuh, Kepimpinan Negeri Dekati Akar Umbi – Azman Ismail

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail menzahirkan rasa syukur apabila berkesempatan menghadiri perjumpaan bersama Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama barisan Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri.

Menurut beliau, pertemuan tersebut membuka ruang kepada kepimpinan di peringkat bahagian untuk berkongsi pandangan serta menyampaikan maklumat berkaitan perkembangan semasa parti, selain membincangkan pelbagai isu yang melibatkan masyarakat di peringkat akar umbi.

Jelasnya, sesi tersebut juga menjadi platform penting bagi memperkukuh gerak kerja parti agar terus kekal relevan dan dekat dengan rakyat.

“Dalam perjumpaan ini kami di peringkat bahagian berpeluang untuk berkongsi pandangan, menyampaikan maklumat serta membincangkan perkembangan semasa khususnya berkaitan gerak kerja parti dan isu-isu yang melibatkan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Onn Hafiz turut berkongsi pandangan serta hala tuju UMNO Johor dalam usaha memperkukuh perpaduan jentera parti dan memastikan suara rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan tindakan.

“Insya-Allah… dengan semangat kebersamaan dan kesepaduan semua pihak, kita akan terus memperkukuh perjuangan parti serta memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, kekuatan parti bergantung kepada kesatuan dan kerjasama seluruh jentera, khususnya di peringkat akar umbi yang menjadi tunjang kepada perjuangan UMNO.

Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza beliau turut berbesar hati meluangkan masa menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di Balai Raya Bakri Batu 5.

“Bakul makanan ini merupakan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan menceriakan para penerima,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung, Tok Shamsudin atas jemputan serta usaha bersama jawatankuasa kampung dalam menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih kepada Ketua Kampung, Tok Shamsudin atas jemputan serta usaha beliau bersama jawatankuasa dalam menjayakan program ini.

“Semoga segala usaha dan keprihatinan ini diberkati serta terus mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO