UMNO Buka Pintu Tanpa Syarat Demi Satukan Kembali Melayu – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuka pintu UMNO tanpa syarat sebagai satu langkah ikhlas untuk menyatukan kembali perjuangan orang Melayu, khususnya dalam semangat bulan Ramadan.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh, pendekatan itu selari dengan konsep “Rumah Bangsa” yang telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Mohd Razlan berkata, ramai sebelum ini mempersoalkan bagaimana konsep Rumah Bangsa itu akan dilaksanakan, termasuk dari segi kaedah, corak kepimpinan dan mekanismenya.

“Apabila Presiden UMNO membuka pintu tanpa syarat, saya rasa ini satu niat yang ikhlas khususnya dalam bulan Ramadan. Ia juga saya percaya telah dibincangkan di peringkat tertinggi parti,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa melalui pendekatan tersebut, mana-mana pihak yang ingin bersama UMNO hanya perlu mengisi borang keahlian tanpa sebarang syarat tambahan.

“Hari ini bila Presiden kata tidak ada syarat, semua boleh masuk, isi borang dan tidak ada masalah. Saya percaya ini adalah niat murni untuk menyatukan semua perjuangan orang Melayu di bawah satu bumbung,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha mengajak semula pihak di luar parti kembali ke dalam UMNO bukanlah perkara baharu dalam sejarah parti.

Menurutnya, UMNO pernah memimpin gerakan menentang Malayan Union serta menyaksikan kembalinya penyokong daripada Parti Semangat 46 menyertai UMNO.

“Perkara mengajak orang di luar sana kembali kepada UMNO bukanlah sesuatu yang luar biasa. Kita pernah melakukannya sebelum ini demi memastikan orang Melayu kembali kuat di negara sendiri,” jelas beliau.

Mohd Razlan yakin bahawa mereka yang menyertai UMNO melalui konsep Rumah Bangsa akan diberikan peluang untuk menyumbang dan berkhidmat dalam parti.

Beliau menegaskan bahawa penyertaan ke dalam Rumah Bangsa tidak dikenakan sebarang syarat, termasuklah kepada individu yang mempunyai pengaruh luas dan mampu memberi sumbangan kepada perjuangan parti.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti, selaras dengan semangat Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah dan memperkukuh ukhuwah.

Terdahulu, Mohd Razlan telah meraikan komuniti setempat termasuk anak-anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Seputeh yang diadakan di Dewan Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba pada Ahad. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO