Rumah Bangsa: Mohd Zaidy Gesa Semua Pihak Buang Ego Demi Penyatuan
JEMPOL, 10 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, menggesa semua pihak agar menyambut seruan penyatuan dalam parti dengan hati terbuka serta mengetepikan segala perasaan angkuh, sombong dan ego yang boleh menghalang usaha memperkukuhkan kembali UMNO.
Beliau berkata, seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada semua bekas ahli dan individu yang ingin kembali bersama perjuangan parti perlu dilihat sebagai peluang besar untuk mengukuhkan semula saf perjuangan parti keramat itu.
Menurutnya, dalam situasi politik semasa, semangat merendah diri dan kesediaan untuk berdamai adalah kunci utama bagi memastikan usaha penyatuan dapat direalisasikan.

“Seruan Presiden UMNO ini perlu disambut dengan hati yang terbuka oleh semua pihak. Jika benar kita mahu melihat UMNO kembali kuat dan dihormati, maka setiap daripada kita perlu membuang rasa angkuh, sombong dan ego yang boleh menjadi penghalang kepada usaha penyatuan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan parti perlu diletakkan lebih tinggi daripada kepentingan peribadi atau perbezaan pandangan yang pernah berlaku sebelum ini.
“Dalam perjuangan politik, perbezaan pandangan itu perkara biasa. Namun demi masa depan parti dan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara, semua pihak perlu berjiwa besar untuk melupakan perbezaan yang lalu.
“Keikhlasan, kejujuran dan ketaatan kepada parti harus sentiasa diutamakan dalam usaha mencapai agenda penyatuan ini, meskipun Presiden membuka pintu seluas-luasnya tanpa sebarang syarat.
“Nilai-nilai tersebut perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian, kestabilan serta kekuatan parti sentiasa terjamin.”
Tambah beliau, kesediaan Presiden UMNO membuka ruang penyatuan tanpa syarat jelas menunjukkan sikap terbuka dan keikhlasan kepimpinan tertinggi parti dalam merapatkan kembali hubungan sesama ahli.
“Apabila Presiden sendiri telah menunjukkan sikap berlapang dada dan bersedia membuka pintu penyatuan, maka sewajarnya semua pihak menyambutnya dengan semangat yang sama demi memperkukuhkan kembali kekuatan UMNO,” katanya.
Mohd Zaidy turut berharap agar seruan penyatuan itu dapat menjadi titik permulaan kepada usaha menyatukan kembali seluruh kekuatan parti agar UMNO terus kekal sebagai wadah utama perjuangan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Pada Jumaat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti, selaras dengan semangat Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah dan memperkukuh ukhuwah. – UMNO Online
