Mohamad Hasan Santuni Golongan Memerlukan, Sempurnakan Majlis Khatam Al-Quran
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Timbalan Presiden UMNO yang Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berbesar hati turun padang menghadiri beberapa program bersama masyarakat di kawasan pada hujung minggu lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau memulakan jadual dengan menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Perdana Wanita UMNO Bahagian Rembau yang diadakan di Masjid Kariah Titian Akar.
“Program ini merupakan inisiatif Wanita UMNO Bahagian Rembau mengikut DUN sepanjang Ramadan, sebagai usaha mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan ini dengan amalan membaca dan menghayati kalam Allah.
“Mudah-mudahan kita terus istiqamah membaca, menghayati serta memahami setiap ayat yang dibaca. Dengan menjadikan Al-Quran sebagai pedoman, insya-Allah kehidupan akan lebih tenang dan terpimpin.
“Tahniah kepada Wanita UMNO Bahagian Rembau di bawah pimpinan Puan Asiah Kasdi dan Jawatan Kuasa atas kejayaan dan kesempurnaan majlis Khatam Al Quran yang penuh makna ini. Semoga usaha murni ini dapat terus dikekalkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamad meneruskan gerak kerja menyantuni masyarakat dengan menyampaikan sumbangan Aidilfitri, dimulakan di Pusat OKU Bengkel Seri Sembilan sebelum ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Sendayan
Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, beliau berharap sumbangan yang dihulurkan mampu membawa kegembiraan serta membantu penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
“Seterusnya ke SK Bandar Sri Sendayan bagi menyerahkan bantuan Aidilfitri kepada warga emas 70 tahun ke atas, golongan asnaf fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal dari PDM Sendayan dan PDM Bandar Sri Sendayan.
“Selesai di Dewan SK Sri Sendayan, terus pula ke Balai Raya Taman Sendayan Indah bagi menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada para penerima dari sekitar PDM Sendayan dan PDM Taman Sendayan Indah,” ujar beliau.
Sebagai penutup program, beliau seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya turut menghadiri majlis di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Sendayan bagi menyerahkan bantuan Aidilfitri kepada penduduk sekitar PDM Sendayan dan PDM Kampung Felda Sendayan.
“Sumbangan disampaikan kepada anak yatim, ibu tunggal, asnaf serta warga emas berusia 70 tahun ke atas.
“Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan ini, semoga sumbangan yang dihulurkan dapat membawa kegembiraan serta keceriaan kepada mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya. – UMNO Online
