Penyerahan Rumah Kasih Johor

KULAI 27 Feb– Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyempurnakan penyerahan Rumah Kasih Johor (Rumah Percuma) kepada empat keluarga penerima di daerah Kulai iaitu Saudara Abdul Malek Jaafar, Puan Norasikin binti Abdul Rashid, Saudara Norahmad bin Sar dan Puan Nor Azizah binti Ismail. Semoga rumah yang diserahkan ini menjadi ruang kehidupan baharu yang lebih selamat, selesa dan bermaruah buat tuan-puan sekeluarga.
Inisiatif Rumah Percuma Johor atau Rumah Kasih Johor ini merupakan komitmen jelas Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan bahawa kesejahteraan Bangsa Johor mesti bermula daripada asas paling penting iaitu tempat berteduh yang sempurna. Rumah bukan sekadar struktur fizikal, tetapi lambang maruah, keselamatan dan harapan masa depan sesebuah keluarga.


