KUSKOP Komited Perkasa Agenda Bumiputera Selaras RMK13

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin memaklumkan kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam usaha untuk memperkasa agenda pemerkasaan bumiputera.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata inisiatif yang dilaksanakan kementerian adalah selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

“Ia menjadi kerangka strategik jangka masa panjang bagi memperkasa ekonomi bumiputera secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

“Bagi tahun 2026, peruntukan sebanyak RM1.015 bilion kepada KUSKOP dalam Belanjawan 2026 merupakan jumlah tertinggi yang pernah diterima oleh kementerian.

“Sekali gus mencerminkan komitmen jelas Kerajaan menerusi KUSKOP terhadap agenda pembangunan usahawan dan koperasi, khususnya usahawan bumiputera sebagai pemacu ekonomi rakyat.

“Peruntukan ini meningkat sebanyak RM200.3 juta atau 24.6 peratus berbanding RM815.13 juta pada tahun
sebelumnya.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut kata beliau peruntukan di bawah TEKUN Nasional khusus kepada usahawan bumiputera juga telah ditingkatkan daripada RM300 juta pada tahun 2025 kepada RM500 juta pada tahun 2026.

Katanya pelaksanaan program khusus kepada usahawan bumiputera juga diteruskan pada tahun ini antaranya Skim pembiayaan di bawah SME Bank seperti Program Jaguh Serantau dengan dana sebanyak RM200 juta dan Pembiayaan Ekosistem Payung melalui dana berjumlah RM50 juta.

“Selain itu Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) di bawah SME Corp dengan peruntukan sebanyak RM12 juta; Program Pembangunan Vendor melibatkan peruntukan sebanyak RM11.5 juta.

“Program Latihan dan Bimbingan Perseorangan Bumiputera (BANGKIT) oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dengan peruntukan sebanyak RM8.9 juta serta Program Be Your Own Boss (BYOB) oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dengan peruntukan sebanyak RM9 juta bagi membangunkan usahawan francais dan pelesenan,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut memaklumkan pembiayaan kepada usahawan bumiputera terus diperkukuh dan ditambah baik, antaranya melalui peningkatan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional iaitu daripada RM300 juta kepada RM500 juta.

Bagaimanapun pada masa sama kata beliau, skim pembiayaan khusus kepada usahawan Cina turut diperkenalkan, termasuk skim PROSPER-i di bawah Bank Rakyat serta skim SUCCESS oleh SME Bank.

“Bagi usahawan India pula, pembiayaan sedia ada diteruskan dan dipertingkatkan melalui penambahan peruntukan skim SPUMI, iaitu daripada RM30 juta kepada RM50 juta.

“Selain itu, pembiayaan mikro sempena musim perayaan juga disediakan, seperti skim BARAKAT oleh TEKUN Nasional sempena Ramadan serta skim BERKAT oleh SME Corp Malaysia bagi menyokong keperluan modal usahawan sempena sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO