​PAU 2025: Jadikan ‘Rumah Bangsa’ Platform Penyatuan Melayu Tanpa Sempadan Parti – Shahanim

​KUALA LUMPUR, 21 Jan – Gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang menjadi antara intipati penting dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 perlu diterjemahkan sebagai satu platform untuk menyatukan semula orang Melayu tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik.

​Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Tok Nim berkata, UMNO selaku parti keramat orang Melayu harus menjadi pemangkin dengan memanggil semua parti berasaskan Melayu untuk duduk bermuafakat.

​​Menurut beliau, penyatuan di bawah satu ‘bumbung’ yang melibatkan parti-parti seperti Pas, Bersatu, Pejuang, dan Amanah serta NGO dan sebagainya lagi adalah formula terbaik untuk memastikan bangsa Melayu kembali hebat dan mantap.

​“UMNO perlu memanggil rakan-rakan daripada semua parti Melayu untuk duduk berbincang. Kita mahu satu penyatuan yang ikhlas demi masa depan yang lebih kokoh,” katanya mengulas mengenai aspirasi tersebut,” ujarnya.

​Beliau turut menekankan bahawa agenda besar ini memerlukan barisan kepimpinan yang memiliki kualiti tertentu bagi memastikan misi penyatuan ini bukan sekadar retorik antaranya:

i) Tidak Tamak: Pemimpin perlu meletakkan kepentingan bangsa sebagai keutamaan mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

​ii) Rendah Diri: Mengelakkan sikap ego atau sombong ketika berunding bagi memudahkan jalan perdamaian.

​iii) Jiwa Besar: Kesediaan untuk menerima semula ahli atau pemimpin yang pernah meninggalkan parti demi memperkukuh semula kekuatan ummah.

​Shahanim turut menzahirkan kebimbangannya sekiranya perpecahan orang Melayu terus dibiarkan berlarutan tanpa ada usaha noktah yang jelas.

​“Kalau Melayu bersatu, Melayu kuat. Kita tidak mahu anak cucu kita pada masa hadapan menyalahkan kita kerana kita terlalu berpecah sehingga menyebabkan kuasa politik kita hilang,” tegas beliau.

​Sambil memuji keikhlasan Presiden UMNO dalam membuka ruang penyatuan, beliau berharap agar segala usaha ini akan menjamin kelangsungan syiar Islam serta kedaulatan bangsa Melayu di tanah air sendiri.​- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO