Silap Lapor PAU: Media Pencerap Kebenaran, Bukan Pencetus Kekeliruan
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua Penerangan UMNO Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berpandangan bahawa media sepatutnya menjadi pencerap kebenaran, bukan pencetus kekeliruan.
Ini kerana katanya, satu laporan yang silap boleh tersebar luas dalam sekelip mata dalam era digital, sekaligus meninggalkan kesan yang tidak mudah dipadam.

“Dalam dunia kewartawanan, permohonan maaf tidak boleh dijadikan pengganti kepada ketepatan. Lebih-lebih lagi dalam era digital, apabila satu laporan silap boleh tersebar luas dalam sekelip mata, membentuk persepsi awam dan meninggalkan kesan yang tidak mudah dipadam walaupun selepas pembetulan dibuat.
“Insiden terbaharu melibatkan laporan oleh Malaysiakini dan Sinar Harian wajar dijadikan peringatan serius tentang pentingnya etika kewartawanan, khususnya dalam pelaporan digital yang bergerak pantas dan berimpak tinggi.
“Kesilapan meletakkan imej sensitif yang tidak berkaitan dengan kandungan berita dan kesilapan mentafsir laungan politik semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025, bukan sekadar isu teknikal. Ia menyentuh soal kredibiliti media, kepercayaan awam dan integriti maklumat yang menjadi asas kepada masyarakat demokratik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, permohonan maaf tidak memadai kerana kerosakan reputasi sesebuah subjek di dalam laporan tersebut telah berlaku.
“Permohonan maaf yang dibuat selepas kesilapan dikesan sememangnya satu langkah wajar. Namun, ia tidak mencukupi. Dalam realiti hari ini, ribuan pembaca mungkin telah membaca, mempercayai dan menyebarkan laporan yang salah sebelum sebarang pembetulan dilakukan. Kerosakan reputasi telah berlaku dan persepsi yang terbina tidak semestinya dapat diperbetulkan sepenuhnya.
“Hakikat yang perlu diterima ialah pembetulan dan penafian tidak pernah bergerak sepantas laporan awal yang silap. Dalam landskap media digital, kesan awal sering menjadi naratif kekal, manakala pembetulan sekadar menjadi nota kaki yang terlewat.
“Lebih membimbangkan, jika amalan ‘buat silap dahulu, minta maaf kemudian’ dibiarkan berulang, ia akan menormalkan kecuaian editorial. Lama-kelamaan, ia membuka ruang kepada manipulasi naratif dan permainan persepsi, sama ada secara sengaja atau akibat kegagalan sistem kawalan dalaman,” katanya lagi.

Tambahnya, media sering dan wajar menuntut akauntabiliti daripada ahli politik dan pemegang jawatan awam namun tidak terkecuali daripada keperluan akauntabiliti.
“Persoalan yang wajar ditanya oleh masyarakat ialah… apakah jaminan bahawa kesilapan seumpama ini tidak akan berulang, terutamanya ketika musim pilihan raya? Pada ketika itu, implikasinya bukan sahaja terhadap reputasi parti politik, tetapi terhadap keadilan proses demokrasi dan hak rakyat untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang benar.
“Media sering dan wajar menuntut akauntabiliti daripada ahli politik serta pemegang jawatan awam. Namun, media juga tidak terkecuali daripada keperluan akauntabiliti. Kebebasan media mesti berjalan seiring dengan disiplin, ketelitian dan tanggungjawab moral terhadap masyarakat.
“Permohonan maaf tidak seharusnya menjadi penamat kepada isu ini. Ia mesti disusuli dengan penjelasan yang telus, penilaian menyeluruh terhadap kegagalan editorial dan langkah konkrit untuk memperkukuh piawaian semakan agar kesilapan yang sama tidak berulang,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa etika kewartawanan adalah amanah dan ia bukan sekadar kosmetik.
“Media sepatutnya menjadi pencerap kebenaran, bukan pencetus kekeliruan; menjadi pendidik masyarakat, bukan punca kerosakan reputasi; dan menjadi pelindung integriti demokrasi, bukan liabiliti kepada prosesnya.
“Etika kewartawanan bukan pilihan, bukan kosmetik, dan bukan sekadar kenyataan maaf selepas kesilapan. Ia adalah amanah dan amanah yang dikhianati akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi media itu sendiri,” katanya lagi – UMNO Online
