Resolusi PAU 2025 Perlu Digerakkan Hingga Ke Akar Umbi – Syed Johan

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyeru agar segala resolusi yang dicapai sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 dibawa pulang ke kawasan masing-masing dan digerakkan sehingga ke peringkat akar umbi.

Menurut beliau, PAU 2025 membuktikan kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan parti apabila para perwakilan diberi ruang untuk berbahas secara telus serta jujur dalam membincangkan hala tuju juga masa depan UMNO.

“PAU kali ini memperlihatkan kejujuran Presiden UMNO, para pemimpin dan perwakilan dalam menyatakan isu sebenar yang dihadapi parti, sama ada melalui ucapan dasar, perbahasan mahupun penggulungan.

“Keberadaan UMNO dalam landskap politik negara hari ini bukan bertujuan mengejar kuasa atau kedudukan, sebaliknya demi memastikan amanah kenegaraan dapat dilaksanakan dengan baik dan mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Jelasnya, pengalaman negara melalui zaman ketidakstabilan politik sebelum ini sehingga berlaku pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal membuktikan negara perlukan kestabilan politik yang kukuh.

“UMNO hari ini kembali memainkan peranan penting selari dengan titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menekankan kepentingan kestabilan politik demi kesejahteraan negara.

“Komitmen UMNO dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu bukan sekadar retorik, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan konkrit di bawah lapan kementerian yang diterajui UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO konsisten mempertahankan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti dan kepentingan orang Melayu, termasuk membantah sebarang tuntutan rakan komponen yang bercanggah dengan aspirasi masyarakat Melayu. Isu berkaitan UiTM, tanah rizab Melayu dan kepentingan warisan negara sentiasa diperjuangkan UMNO secara tegas,” katanya lagi.

Mengulas mengenai gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan oleh Presiden UMNO, beliau menyifatkannya sebagai satu wadah penyatuan orang Melayu yang relevan dan mendapat sambutan positif dalam kalangan akar umbi.

“Penyatuan orang Melayu bukan hanya kehendak parti, tetapi kehendak orang Melayu itu sendiri. UMNO berpegang kepada fakta dan sejarah bahawa asas penyatuan bangsa Melayu bermula dengan UMNO.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan individu yang mencintai bangsa agar bersama-sama menyahut seruan penyatuan demi kepentingan bangsa serta negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan Rizal menegaskan bahawa resolusi PAU 2025 tidak boleh terhenti di dewan perhimpunan semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara berpasukan di peringkat bahagian dan cawangan.

“UMNO mempunyai kekuatan akar umbi yang luas. Di Kedah sahaja terdapat 2,282 cawangan dengan lebih 300,000 ahli. Setiap ahli perlu memahami dan menggerakkan aspirasi yang digariskan oleh kepimpinan parti.

“Saya berharap agar dalam tempoh setahun sebelum PAU 2026, resolusi yang dipersetujui dapat direalisasikan secara berperingkat untuk menilai kesiapsiagaan UMNO menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penyatuan orang Melayu adalah asas kepada kestabilan dan kesejahteraan negara secara keseluruhan.

“Apabila orang Melayu bersatu, insya-Allah kesejahteraan itu akan turut dinikmati oleh semua kaum dan agama di negara ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO