PAU 2025: Akta Perlindungan Guru Perkasa Profesion Perguruan – Safwan

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Safwan Jaafar menyifatkan cadangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 agar diwujudkan Akta Perlindungan Guru Malaysia sebagai langkah tepat dalam melindungi profesion perguruan daripada pelbagai cabaran semasa.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar berkata cadangan tersebut mencerminkan keprihatinan UMNO terhadap kebajikan dan keselamatan warga pendidik yang berdepan pelbagai tekanan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Banyak isu telah dibawa dalam PAU dan antara dasar yang paling menarik ketika ini ialah inisiatif UMNO mencadangkan penggubalan satu akta khas bagi melindungi para guru.

“Dalam aspek pendidikan, UMNO melihat wujud kelompongan dalam dasar sedia ada apabila guru-guru tidak mempunyai perlindungan undang-undang yang jelas untuk mempertahankan diri mereka.

“Justeru, UMNO berhasrat menggubal dasar pendidikan yang lebih menyeluruh bagi memastikan keselamatan dan kebajikan guru terus terjamin,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata beliau lagi, UMNO melihat cadangan penggubalan Akta Perlindungan Guru Malaysia sebagai satu langkah strategik bagi menangani kelompongan dalam dasar pendidikan sedia ada.

Katanya, kebanyakan guru pada hari ini berasa terancam akibat pelbagai cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugas mereka.

“Kebanyakan guru pada hari ini berasa terancam akibat pelbagai cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugas mereka. Sehubungan itu, UMNO mengambil inisiatif ini bagi membantu dan membuktikan bahawa UMNO merupakan wadah harapan kepada para guru, yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu.

“Dalam banyak isu semasa kebelakangan ini, tindakan guru sering menerima reaksi balas atau kritikan tanpa perlindungan yang sewajarnya. Justeru, UMNO telah membuat ketetapan untuk menggubal satu akta khas bagi melindungi warga pendidik.

“Dengan pelaksanaan akta ini kelak, profesion keguruan diyakini akan diperkasakan, sekali gus meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara. Selain itu, akta tersebut turut memberi perlindungan dari segi keselamatan, sekali gus memberi keyakinan kepada guru untuk bertindak secara profesional tanpa rasa takut,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO