‘Orang Kelantan Usahlah Berdalih Lagi, Jangan Ego’
KUALA LUMPUR, 19 Jan – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain meluahkan bahawa Kelantan masih berhadapan dengan isu asas yang tidak berkesudahan, terutamanya dari segi ekonomi dan sosial rakyat.
Rentetan itu beliau mengharapkan sentuhan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui agensi Persekutuan agar meningkatkan daya ekonomi terutama di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Rakyat Kelantan usahlah kita berdalih lagi. Jangan ego dan sombong diri, menyatakan alasan menolak pembangunan tapi mereka memilih negeri maju untuk mencari pendapatan. Kita tidak boleh ego lagi untuk tidak mahukan air bersih kerana berduyun-duyun mencari negeri airnya jernih.
“Saya sebagai anak Kelantan berharap kepada semua rakyat negeri Kelantan sama-sama buat perubahan. Berilah kepada UMNO sekali lagi untuk kami mengulangi kejayaan 12 tahun kami jadi kerajaan,” katanya.
Wan Mahussin berkata demikian ketika berbahas mewakili Kelantan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, Sabtu baru-baru ini.
Dalam pada itu beliau turut sama menyahut seruan Presiden UMNO mengenai penjenamaan semula Barisan Nasional (BN) bagi memperkukuh kedudukan parti dan menarik sokongan generasi muda.
Beliau berkata, penjenamaan ini penting untuk memastikan BN kekal relevan dalam landskap politik semasa.
“Presiden menyatakan cadangan untuk penjenamaan BN. Melihat kepada situasi hari ini BN antara parti yang tidak melakukan perubahan dari segi penjenamaan.
“Kalau kita ambil parti-parti sebelah sana contohnya Pakatan Rakyat, hari ini telah bertukar kepada Pakatan Harapan.
“Parti sebelah sana lagi yang datang juga daripada rumah ini ditubuhkan dengan nama baru namanya Perikatan Nasional walaupun dicuri atas nama perikatan yang kita tubuhkan dahulu.
“Jika perlu kepada penjenamaan semula supaya dapat menarik semula golongan anak-anak muda untuk bersama dengan kita. UMNO Kelantan serah mandat kepada para kepimpinan untuk menilai, mengkaji serta membuat keputusan. Kita di akar umbi percayalah kepada pucuk pimpinan,” ujar beliau. – UMNO Online
