UMNO Tambun Teguh Dengan Semangat Penyatuan – Akmal Zharif
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Pemuda UMNO Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2025 telah menjadi wadah penting untuk memperkukuh semangat perjuangan dan keinsafan dalam kalangan ahli parti terhadap tanggungjawab besar yang digalas bersama.
Beliau berkata, pelbagai iktibar, pengajaran serta pandangan bernas yang disampaikan sepanjang perbahasan jelas menggambarkan bahawa denyut nadi perjuangan UMNO masih hidup dan terus bergetar dengan semangat keikhlasan serta kecintaan terhadap parti.
“Setiap ucapan dan pandangan yang diutarakan di pentas perhimpunan kali ini membuktikan bahawa ahli-ahli UMNO masih kekal dengan semangat juang yang tinggi.
“Mereka berani menyuarakan pandangan, memberi teguran serta mengemukakan cadangan untuk memperkukuh asas perjuangan agar parti terus relevan dengan realiti politik semasa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selari dengan penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kekuatan parti harus dibina di atas tiga asas utama iaitu penyatuan, keberanian melakukan pembaharuan dan kesetiaan terhadap prinsip perjuangan maka perhimpunan kali ini bukan sekadar menjadi medan berhimpun, tetapi juga ruang bermuhasabah dan memperbaharui tekad untuk kebangkitan semula parti.
“Perhimpunan Agung UMNO kali ini memberi mesej yang cukup jelas – bahawa UMNO mesti kembali kepada kekuatan akar umbi. Penyatuan harus menjadi tunjang utama dalam membina semula keyakinan rakyat terhadap parti,” katanya lagi.
Beliau menambah, semangat kebersamaan yang dizahirkan sepanjang perhimpunan turut menjadi iltizam UMNO Bahagian Tambun untuk memperkemas gerak kerja di semua peringkat, memperkukuh solidariti ahli serta memastikan UMNO terus kukuh, berprinsip dan berdaya tahan menghadapi cabaran mendatang.
“UMNO Tambun akan terus bergerak sebagai satu pasukan. Kami akan memastikan setiap ahli memainkan peranan, bukan sekadar dalam konteks politik tetapi juga dalam memperjuangkan nasib rakyat di kawasan masing-masing,” jelasnya.- UMNO Online
