UMNO Sekolah Politik Negara, Lahirkan Pemimpin Merentasi Parti – Wakil Perlis
KUALA LUMPUR, 17 Jan – UMNO bukan sahaja telah melahirkan ramai pemimpin untuk parti berkenaan dan negara semata-mata, malah turut menjadi tempat lahirnya ramai tokoh yang kini memimpin parti-parti lain di negara ini.
Wakil UMNO Perlis dalam perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, Yusuff Man berkata sejak penubuhannya, UMNO terbukti sebagai wadah melahirkan kepimpinan nasional yang matang, terbuka serta berakar umbi dalam realiti masyarakat.
Hakikat ini jelas beliau menjadikan UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebuah sekolah politik negara yang telah banyak mencorak hala tuju kepimpinan tanah air.
“Sehubungan itu, pelancaran Sekolah Politik UMNO pada tahun lalu menjadi simbol kesungguhan parti dalam melahirkan barisan pelapis masa depan negara yang memiliki asas kukuh dalam kefahaman perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Idea yang digagaskan oleh Datuk Seri Presiden bersama Datuk Seri Wan Rosdy merupakan agenda besar bagi membentuk generasi pewaris perjuangan UMNO yang akan terus menghargai jasa serta sumbangan parti dalam membina asas kepimpinan negara,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan PAU 2025, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa pelbagai fasa telah dilalui oleh parti keramat ini apabila pernah menang, pernah kalah, pernah bangkit dan sentiasa diuji.
“Setiap keputusan besar yang diambil sebelum ini sentiasa memberi kesan jangka panjang, bukan sahaja kepada parti, tetapi juga kepada keseluruhan landskap politik negara,” ujarnya.
Justeru, beliau menekankan bahawa setiap keputusan yang bakal dibuat hari ini dan pada masa hadapan mestilah berlandaskan satu matlamat jelas, iaitu memastikan UMNO kekal relevan, berprinsip dan terus memimpin dengan keyakinan rakyat.
“Dalam membuat keputusan strategik, kita perlu melihat jauh ke hadapan. Jangan hanya memikirkan kesulitan jangka pendek, tetapi pertimbangkan kepentingan jangka panjang parti, generasi muda dan masa depan negara,” ujarnya lagi.- UMNO Online
