UMNO Pelopor Penyatuan Umat Berteraskan Keikhlasan – Rosnah
KUALA LUMPUR, 17 Jan – UMNO mesti kembali memainkan peranan sebagai pelopor utama dalam usaha penyatuan umat Islam di negara ini, yang dilaksanakan berteraskan keikhlasan serta sokongan rakyat, bukan semata-mata berpaksikan kepentingan politik.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pendekatan tersebut penting bagi memperkukuhkan ukhuwah demi kestabilan dan keharmonian negara secara menyeluruh.
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan jiwa besar dalam meneruskan perjuangan parti meskipun berdepan pelbagai cabaran dan episod pengkhianatan sepanjang perjalanan politiknya.
“Presiden UMNO sangat berjiwa besar walaupun beliau telah melalui banyak pengkhianatan dan diperlakukan dengan pelbagai tohmahan oleh rakan-rakan yang dahulunya bersama UMNO. Namun beliau tetap meletakkan ukhuwah dan hubungan sesama Islam sebagai paksi utama perjuangan.
“Parti ini adalah kunci perpaduan seluruh rakyat Malaysia, yang berperanan sebagai tunjang kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, sekali gus memastikan kemakmuran serta kesejahteraan negara terus terpelihara.
“Presiden UMNO juga menjunjung Islam sebagai agama rasmi, mendaulatkan undang-undang dan kesetiaan kepada Raja-raja Melayu dan itulah yang menjadi panduan keseluruhan ahli UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Papar menjelaskan UMNO menzahirkan komitmen tegas untuk kembali menjadi pelopor dalam mempertahankan kesucian agama Islam serta kedudukan istimewa orang Melayu sebagai teras utama kekuatan dan kestabilan negara.
“Perjuangan agama, bangsa dan negara bukanlah agenda baharu, sebaliknya merupakan DNA UMNO sejak penubuhannya dan akan terus diperkasakan selari dengan cabaran semasa demi menjamin masa depan negara yang aman, makmur dan berdaulat.
“UMNO akan terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan asal parti, dengan pendekatan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta semangat perpaduan nasional, bagi memastikan Islam terus dimartabatkan dan hak serta kepentingan orang Melayu kekal terpelihara,” katanya lagi.
Tambah beliau, keteguhan prinsip ini menjadi asas penting kepada usaha UMNO untuk terus bangkit sebagai parti tunjang yang diyakini rakyat dalam mengurus tadbir dan memacu hala tuju negara. – UMNO Online
