UMNO Negeri Sembilan Sokong Gagasan ‘Rumah Bangsa’ Untuk Penyatuan Melayu
KUALA LUMPUR, 17 Jan – UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebagai agenda penyatuan Melayu demi kestabilan negara dan masa depan politik bangsa.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata gagasan yang diumumkan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 itu merupakan satu seruan ikhlas parti untuk kembali memainkan peranan sebagai tiang seri kestabilan politik di peringkat persekutuan dan negeri.

Menurut beliau, penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa membuktikan kesediaan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada semua pihak demi memulihkan ukhuwah Melayu yang semakin terhakis akibat perpecahan dan sentimen politik sempit.
“Ini bukan soal merebut kuasa, sebaliknya satu tanggungjawab besar untuk menyatukan kembali orang Melayu yang semakin berpecah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas persepsi bahawa UMNO hanya menjadi pelengkap dalam Kerajaan Perpaduan, Jalaluddin menegaskan parti itu kekal berprinsip dan tidak menggadaikan perjuangan terasnya, termasuk pendirian tegas terhadap isu UEC dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata sepanjang 38 bulan penglibatan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan 29 bulan di Negeri Sembilan, UMNO terus mempertahankan asas perjuangan tanpa berkompromi demi kelangsungan politik.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menekankan keperluan mendekati generasi muda susulan kemerosotan sokongan pengundi berusia 18 hingga 30 tahun serta peningkatan fahaman yang disifatkan sebagai political atheist dalam kalangan anak muda.

Katanya, inisiatif Musyawarah Nasional akan menjadi platform untuk merangkul pandangan ahli akademik dan profesional Melayu bagi memastikan naratif UMNO kekal segar, rasional dan relevan dengan realiti semasa.
“Rumah ini perlu dibersihkan daripada debu keangkuhan. Kita tidak mahu orang Melayu terus diracik-racik sehingga lemah penguasaan politiknya,” katanya.
UMNO Negeri Sembilan, jelas beliau, akan terus berdiri teguh menyokong usaha penyatuan secara inklusif, sama ada secara individu mahupun berkumpulan, demi memastikan masa depan tanah air terus terpelihara. – UMNO Online
