UMNO Milik Semua, Bersama Perkasakan Demi Sebuah Perjuangan – Rahimi
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ahli UMNO di semua peringkat perlu menanam semangat setiakawan dan menyedari bahawa parti keramat ini bukanlah milik mana-mana individu, sebaliknya ia adalah milik mutlak seluruh ahli akar umbi.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad berkata, ulasan ini selari dengan semangat ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan parti terus diperkukuh demi mendepani cabaran politik semasa.
Menurut beliau, kekuatan UMNO terletak pada komunikasi dua hala yang berkesan antara pemimpin dan pengikut.
”UMNO ini bukan milik individu. Ia bukan milik Presiden atau ahli Majlis Kerja Tertinggi sahaja, tetapi milik semua ahli di peringkat akar umbi. Pemimpin harus bersedia mendengar denyut nadi ahli di bawah, dan ahli pula perlu ada disiplin untuk patuh kepada keputusan parti demi keutuhan kita bersama,” katanya ketika ditemui UMNO Online di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.
Mengulas mengenai usaha penyatuan semula, beliau menyambut baik keterbukaan parti untuk menerima kembali bekas ahli yang ingin bersama-sama berjuang di bawah panji Sang Saka Bangsa.
”Kita tidak boleh terus berpecah. Jika ada yang ingin kembali dan ikhlas berjuang, kita harus berlapang dada. Penyatuan ini mestilah menyeluruh sehingga ke peringkat cawangan. Ketepikan ego dan kepentingan peribadi kerana fokus utama kita adalah agama, bangsa, dan tanah air,” tegas beliau.
Menyentuh soal penjenamaan semula (rebranding) parti, Ahmad Rahimi menegaskan bahawa perubahan imej luaran tidak akan memberi makna tanpa perubahan minda atau paradigma dalam kalangan ahli itu sendiri.
”Jangan lagi kita asyik fikir tentang kepentingan kelompok kecil. Kita perlu letakkan kepentingan nasional sebagai keutamaan bagi menunjukkan UMNO adalah parti yang relevan dan mampu membawa kestabilan kepada negara,” tambahnya lagi.
Beliau turut menyeru agar seluruh jentera parti tidak terpedaya dengan hasutan atau naratif pihak lawan, sebaliknya membawa pulang semangat Perhimpunan Agung UMNO 2025 ke kawasan masing-masing sebagai persediaan tempur menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang. – UMNO Online
