UMNO Mesti Pelopori Gerakan Menyatupadukan Orang Melayu – Veteran UMNO
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Salamon Selamat menyifatkan UMNO terus memainkan peranan sebagai parti Melayu terbesar yang mempelopori usaha penyatuan bangsa Melayu di negara ini.
Menurut beliau, ini kerana konsep ‘payung besar’ yang sering dibangkitkan sebelum ini wajar difahami secara lebih jelas dan menyeluruh, dengan UMNO tampil sebagai wadah utama penyatuan tersebut.
“Veteran UMNO Malaysia ingin menyentuh tentang konsep payung besar, sebagai parti Melayu yang besar di negara kita, UMNO hendaklah mempelopori dan menjuarai gerakan menyatupadukan orang-orang Melayu.
“Konsep payung besar ini telah dibaiki dan diperkukuhkan oleh ucapan Datuk Seri Presiden bahawa UMNO adalah rumah besar untuk bangsa Melayu.
“Rumah besar lebih lagi bertanggungjawab, lebih lagi berfungsi, lebih lagi berkesan daripada payung besar yang telah digembelingkan oleh beberapa tokoh-tokoh yang kita masih kabur, apakah hakikat ‘payung besar’ yang sehingga ini tidak mendapat sambutan daripada orang-orang Melayu,” katanya.
Salamon berkata demikian ketika berbahas mewakili Veteran UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Katanya lagi, UMNO perlu menekankan peranan penyatuan melalui konsep rumah besar bagi memperkukuhkan kedudukan parti sebagai wadah utama orang Melayu.
“Kami yakin bahawa dengan konsep rumah besar UMNO, di sinilah bermulanya penyatuan orang-orang UMNO, orang-orang Melayu dari seluruh negara untuk menubuhkan UMNO parti keramat ini.
“Jadi veteran UMNO Malaysia menyokong penuh konsep payung besar supaya dia ada dijadikan sebagai asas perjuangan kita, sebagai program besar-besaran untuk kita, untuk kita menyedapkan gerakan untuk payung besar yang sedang digerakkan oleh pihak yang lain,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
