UMNO Kekal Nadi Kestabilan Politik Malaysia – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kehadiran para perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini membuktikan komitmen tinggi ahli parti yang tampil dengan pelbagai saranan, idea serta kritikan membina.

Menurut beliau, perhimpunan berkenaan menjadi lebih bermakna apabila diserlahkan dengan ucapan dasar Presiden UMNO yang memberi hala tuju jelas kepada parti.

Beliau berkata, walaupun UMNO berusaha untuk melaksanakan semua saranan yang dibangkitkan oleh para perwakilan yang berbahas, parti itu masih tidak mungkin dapat kembali berpengaruh sekiranya orang Melayu sendiri tidak terbuka untuk menerimanya.

“Atas sebab itu, dalam sesi penggulungan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk bercakap dengan orang Melayu di tanah air kita dan menyampaikan kepada nurani orang Melayu dua perkara,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan bahawa masa depan dan kepentingan orang Melayu dalam Malaysia yang semakin moden hanya boleh terjamin sekiranya orang Melayu terus menyokong politik yang sederhana, pragmatik dan strategik serta mempertahankan Perlembagaan negara.

Katanya, politik yang beremosi dan terlalu dramatik tidak akan membawa orang Melayu ke mana-mana.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa dewasa ini sentimen dan persepsi telah menjadi politik arus perdana atas alasan kononnya demi perjuangan Melayu dan Islam, sedangkan data, keberhasilan serta pencapaian sebenar hasil kerja keras parti dan kerajaan tidak diketengahkan.

“Sentimen dan persepsi ini telah terlalu dieksploitasi dan dipolitikkan sehingga hampir semua perkara dikaitkan dengan kaum dan agama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam semua perkara yang melibatkan kepentingan Melayu, Bumiputera dan agama Islam, UMNO telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin, walaupun parti itu bukan nakhoda kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang Melayu agar lebih munasabah, pragmatik dan berimbang dalam menilai UMNO serta Kerajaan Perpaduan, dan tidak menyandarkan masa depan Malaysia dan bangsa Melayu kepada emosi serta ketaksuban.

“UMNO dan segala ikhtiarnya untuk Melayu perlu dinilai secara rasional, bukan dengan dorongan perasaan marah, buruk sangka dan kebencian yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa orang Melayu wajar terus meyakini UMNO sebagai wakil politik sebenar bangsa Melayu, berdasarkan rekod perjuangan parti itu sejak sebelum kemerdekaan sehingga terbentuknya Malaysia hari ini.

“Benar, UMNO ada ketikanya khilaf dan tersasar. Namun cukuplah hukuman orang Melayu terhadap UMNO,” katanya.

Menurut beliau, hanya dengan kepercayaan orang Melayu, UMNO mampu pulih dan kembali menjadi parti Melayu yang kuat, seterusnya berperanan lebih berkesan dalam percaturan politik negara.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak akan menjadi boneka politik kepada mana-mana pihak dan perlu terus disokong supaya kekal mandiri sebagai entiti politik Melayu dan nasional.

“Dengan kepercayaan bangsa Melayu, UMNO akan terus menjadi ‘kingmaker’ atau pemain strategik yang mampu mengubah rentak permainan politik negara,” katanya.

Tambah beliau, UMNO perlu menjadi sebahagian daripada mana-mana pembentukan kerajaan kerana tiada kerajaan dapat ditubuhkan tanpa peranan UMNO.

“Pendek kata, Malaysia tidak boleh berfungsi tanpa UMNO sebagai salah satu nafas dan nalurinya,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO