UMNO Bukan Pelengkap Angka, Tetapi Penjaga Kepentingan Melayu Dan Islam – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa UMNO bukan sekadar rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi sebuah parti yang membawa amanah besar mewakili kepentingan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, WTCKL hari ini.

“Semalam juga telah dengan jelas Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan agar menghormati UMNO sebagai bukan sekadar rakan kongsi, bukan sekadar pelengkap angka, tetapi sebagai sebuah parti yang mewakili kepentingan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Mungkin ada yang menganggap peringatan itu sekadar retorik, sekadar penyedap halwa telinga perwakilan, namun saya tegaskan di sini  saya melihat sendiri ketegasan itu disampaikan secara berterus terang dan berani di hadapan pimpinan Pakatan Harapan dan pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan yang lain,” katanya.

Wan Rosdy menjelaskan bahawa dalam Retreat Kerajaan Perpaduan yang dihadiri baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dengan tegas mengingatkan semua pihak tentang pentingnya menjaga hati orang Melayu tanpa bersikap apologetik.

“Dalam pertemuan itu, satu demi satu kegagalan pentadbiran dalam mengurus isu berkaitan Agama Islam, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa dan Budaya Melayu telah disenaraikan dan diperingatkan dengan tegas oleh Presiden kepada mereka yang hadir, termasuk kepada YAB Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Menurut beliau lagi, ketegasan yang dizahirkan oleh Presiden memberi keyakinan bahawa kehadiran UMNO dalam kerajaan hari ini bukan semata-mata soal kuasa, tetapi satu tanggungjawab besar untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu, kesucian agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Selagi prinsip ini menjadi pegangan, selagi itulah UMNO akan terus relevan, dihormati, dan menjadi tiang seri kepada kestabilan negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menyeru agar gagasan UMNO sebagai Rumah Bangsa disambut di semua peringkat — dari akar umbi, cawangan, bahagian hingga ke negeri-negeri.

“Kita santuni setiap kelompok, termasuk NGO Melayu, bekas pemimpin, kita sapa yang tua dan juga yang muda. Kita mahu rumah besar orang Melayu ini kembali meriah, kembali bercahaya, dan kembali diberi kepercayaan rakyat pada PRU akan datang,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam konteks hari ini, konsep Rumah Bangsa tidak boleh dilihat hanya untuk meneduhi bangsa Melayu semata-mata, sebaliknya menjadi tempat bernaung kepada semua kaum seperti mana semangat Barisan Nasional yang pernah menjadi payung kepada perpaduan negara.

“Kini kita mesti lebih bersedia untuk menjadikan Rumah Bangsa ini tempat bernaung lebih ramai lagi bagi memastikan ia menjadi simbol perpaduan dan penjaga kedaulatan negara,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO