Tidak Pernah Pinggir Anak Muda… UMNO Wujudkan Sekolah Digital

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan untuk mewujudkan Sekolah Digital sebagai tanda parti cakna terhadap keperluan anak-anak muda, kata Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut beliau, penguasaan digital amat penting bagi memastikan anak-anak muda, khususnya di institut-institut pengajian tinggi termasuk di luar negara, mendapat maklumat penting berkaitan parti.

“Kenapa anak-anak muda ketinggalan? Kerana UMNO pada waktu dan ketika itu tidak cukup cakna terhadap media sosial, terutamanya dalam memberi jawapan kepada fitnah-fitnah yang dilontarkan.

“Kita dahulu beranggapan bahawa anak-anak muda boleh didekati melalui ucapan di majlis-majlis ataupun ceramah. Jika kita berceramah di 100 buah rumah, kita akan mendapat undi. Namun kini, dengan adanya media sosial, sepuluh buah rumah sudah memadai kerana ia mampu mencapai sehingga 100,000 rumah.

“Jadi atas kesedaran itu, semalam MKT UMNO telah memutuskan untuk mewujudkan Sekolah Digital yang akan berada di seluruh negara. Kita akan memastikan anak-anak muda mengetahui kewujudan Sekolah Digital ini dan menguar-uarkannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, golongan muda yang membentuk hampir 60 peratus pengundi memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan.

“Anak-anak muda ini mengenali UMNO, namun mereka tidak benar-benar memahami apakah wadah perjuangan dan hala tuju sebenar parti,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa satu perjumpaan bersama para pelajar daripada UMNOSiswa dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) telah diadakan pada Jumaat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

“Hari ini (Jumaat) saya berkesempatan berjumpa dengan lebih 60 orang pelajar daripada KULN dan UMNOSiswa. Mereka mengemukakan pelbagai soalan berkaitan kekuatan UMNO serta bagaimana parti ini dapat menerajui kembali kepimpinan negara.

“Saya menjelaskan kepada mereka berdasarkan Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang jelas membuktikan bahawa parti ini mengambil berat terhadap segala perkara berkaitan anak-anak muda. Atas keprihatinan tersebut, kita telah memutuskan melalui usul hari ini untuk memperkasakan sekolah kebangsaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa KULN sangat dekat dengan UMNO, namun ada dalam kalangan mereka yang tidak memperoleh maklumat terkini.

“Apabila fitnah dilontarkan terhadap UMNO, mereka tidak mempunyai maklumat yang tepat untuk menjawab dan menafikan bahawa ia adalah fitnah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata segala isu berkaitan nasional serta persepsi terhadap UMNO akan disalurkan melalui Sekolah Digital tersebut secara masa nyata.

“Justeru, Sekolah Digital ini diwujudkan. Saya telah memaklumkan kepada para pelajar bahawa mereka akan dilibatkan secara langsung dalam Sekolah Digital UMNO. Segala tohmahan serta jawapan akan mudah diperoleh untuk disebarkan ke seluruh dunia, semuanya berlaku dalam masa nyata.

“Oleh itu, kita perlu bertindak secara tuntas dalam menangani setiap isu. Saya percaya Sekolah Digital yang akan dilaksanakan di bawah naungan Datuk Seri Azalina (Azalina Othman Said) selaku Ketua Penerangan UMNO ini akan berasaskan maklumat yang sahih serta mematuhi peraturan undang-undang, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO