Sasaran 30 Peratus Wanita Perlu Diinstitusikan, UMNO Rumah Kita – Norshida
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang menyeru agar sasaran minimum 30 peratus wanita dalam UMNO diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti.
“Sasaran minimum 30 peratus wanita dalam UMNO bukan sekadar retorik, tetapi perlu diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti,” katanya.
Menurut beliau, sasaran tersebut tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jumlah perwakilan semata-mata.
“Sasaran 30 peratus ini mesti merangkumi jawatan-jawatan penting dan strategik dalam struktur kepimpinan UMNO di semua peringkat,” tegasnya.

Norshida berkata Wanita UMNO telah lama menjadi nadi penggerak parti, termasuk dalam mobilisasi akar umbi, pengurusan kempen dan penyampaian dasar.
“Sudah tiba masanya peranan ini diterjemahkan kepada kedudukan kuasa yang sebenar dalam membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penetapan kuota secara berperingkat dan terancang mampu memperkukuh demokrasi dalaman parti.
“Dengan menetapkan kuota ini secara berperingkat dan terancang, UMNO bukan sahaja memperkukuh asas demokrasi dalaman, tetapi juga menghantar mesej jelas bahawa parti ini komited terhadap prinsip inklusiviti dan keadilan gender,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar cadangan tersebut dibincangkan secara serius dan dimasukkan sebagai pindaan rasmi perlembagaan parti.
“Wanita bukan sekadar penyokong, mereka adalah pemimpin yang berwibawa dan berpotensi untuk membawa UMNO ke arah masa depan yang lebih progresif dan menyeluruh,” katanya.
Dalam masa sama, Norshida turut mengulas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan hala tuju baharu parti sebagai wadah rakyat.
“UMNO bukan milik elit. UMNO milik orang biasa. Anak muda, pekerja, petani, peniaga kecil, inilah denyut nadi UMNO,” katanya memetik ucapan Presiden.
Beliau berkata ucapan tersebut turut mengakui realiti semasa yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, pendirian Presiden bahawa UMNO berubah dan berani mengakui kesilapan adalah isyarat jelas kebangkitan parti.
Beliau menegaskan mesej “UMNO Rumah Kita” membuktikan parti itu bukan parti masa lalu.
“UMNO bukan parti masa lalu. UMNO parti masa depan. Kalau mahu suara, UMNO tempatnya. Ini rumah kita. Ini perjuangan kita,” katanya lagi. – UMNO Online
