Rumah UMNO Bukan Sekadar Simbolisme, Titik Penyatuan Politik Melayu/Islam – Hasmuni
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ahli Majlis Kerja Tetinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan melihat ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid adalah manifesto keberanian dalam keterbatasan dan ia tidak menjanjikan jalan mudah, tetapi menawarkan hala tuju yang realistik, berprinsip dan berakar pada sejarah.
Jelasnya, cabaran sebenar adalah berhubung keupayaan menterjemahkan naratif ini kepada tindakan yang konsisten dan diyakini rakyat.
Katanya lagi, UMNO bukan sahaja mampu bertahan, malah berpotensi bangkit semula sebagai tiang seri politik Melayu terutamanya dalam ‘Rumah UMNO’ demi membawa kestabilan negara.
“Gagasan Rumah UMNO bukan sekadar simbolisme, tetapi satu tawaran politik yang strategik menjadikan UMNO sebagai pusat penyatuan semula politik Melayu-Islam yang berpecah. Penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa adalah langkah konkrit yang menunjukkan keterbukaan dan jiwa besar, selari dengan tradisi politik UMNO yang berteraskan adab dan hikmah.
“Cadangan Pemugaran Upaya Politik UMNO ini melibatkan pemulihan keyakinan Melayu, perubahan budaya fikir dan penjenamaan semula kerjasama politik termasuk BN (Barisan Nasional), dan ini menunjukkan kesediaan parti untuk melakukan pembaharuan menyeluruh, bukan kosmetik.
“Seruan agar UMNO tampil sebagai suara Melayu progresif tegas pada prinsip tetapi menolak hipokrasi adalah satu repositioning yang penting. Ia memberi isyarat bahawa UMNO ingin kembali memimpin wacana, bukan sekadar bersaing dalam retorik paling lantang,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut Hasmuni yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu menjelaskan prestasi Kerajaan Perpaduan terus diberikan keutamaan dalam kerangka pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Katanya, semua pencapaian membuktikan bahawa kestabilan politik yang dibentuk hari ini memberi pulangan yang berbaloi kepada rakyat.
“Prestasi kerajaan telah mengemukakan secara berhemah pelbagai pencapaian utama negara, termasuk pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil, pengukuhan nilai ringgit, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pengurangan kadar kemiskinan serta pelaksanaan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usaha memperkasa Islam dan Bumiputera.
“Namun cabarannya ialah memastikan pencapaian ini benar-benar dirasai dan dikaitkan dengan peranan UMNO, bukan tenggelam dalam bayang rakan gabungan yang lebih dominan,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama Hasmuni menegaskan mengenai amanah kenegaraan sebagai asas penyertaan UMNO dalam kerajaan adalah satu justifikasi moral dan politik yang kukuh serta berwibawa.
“Presiden UMNO berjaya mengalihkan perbahasan politik daripada persoalan sempit ‘siapa berkuasa’ kepada persoalan yang lebih besar iaitu ‘untuk apa kuasa itu digunakan’. Ini mencerminkan kematangan kepimpinan dan kefahaman mendalam terhadap realiti kenegaraan.
“Dengan mengaitkan pentadbiran negara kepada Maqasid Syariah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta ucapan ini memberi legitimasi moral yang kukuh terhadap keputusan UMNO, sekali gus menangkis naratif bahawa parti tunduk demi kepentingan sempit.
“Pendekatan ini matang dan defensif secara intelektual. Ia mengakui bahawa dalam situasi pasca PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), keengganan bekerjasama bukanlah keberanian, tetapi boleh menjadi kecuaian terhadap kestabilan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, pendirian tersebut membuktikan UMNO sedang membina naratif sebagai parti yang menyumbang kepada penyelesaian negara, bukan sekadar menjadi pemerhati atau pengkritik dari luar kerajaan. – UMNO Online
