Rumah Bangsa UMNO Jadi Platform Satukan Kekuatan Parti – Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan penghargaan terhadap ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan sebagai mesej penyatuan dan hala tuju jelas buat  parti.

Menurutnya, penegasan Presiden bahawa UMNO adalah milik bersama amat bertepatan dengan keperluan semasa parti ketika ini.

Katanya, Pemuda UMNO amat menghargai gagasan Rumah Bangsa UMNO serta penubuhan Jawatankuasa Mesyuarat Nasional yang diumumkan dalam ucapan dasar tersebut sebagai langkah merawat perpecahan dan mengukuhkan kembali saf perjuangan.

“Parti ini bukan milik saya, Timbalan Presiden mahupun Presiden UMNO, tapi ini milik kita semua. Pemuda UMNO amat-amat menghargai ‘Rumah Bangsa UMNO’ dan Jawatankuasa Mesyuarat Nasional pada ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita semua sayangkan parti. Perjuangan parti adalah untuk agama, bangsa dan Raja-raja. Cukup, cukup, cukuplah… kita rawat luka dan paling penting ada agenda untuk perjuangan ini dan bersatulah kita semua.

“Pemuda UMNO lantang bersuara bukannya marah tapi tahu inilah hakikat yang sebenarnya. Pemuda UMNO lantang bersuara bukannya benci tetapi Pemuda sayangkan parti keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di World Trade Centre, hari ini.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin percaya ramai ahli sayangkan parti ini dan tahu tanggungjawab masing-masing bagi memastikan parti ini terus kekal, kuat dan teguh.

“Saya percaya ramai ahli parti yang terlalu sayangkan perjuangan parti keramat ini kerana ini tanggungjawab kita, kerana ini ‘Rumah’ kita, dan sebab itu semua masih di sini dan sudah tiba masanya segalanya bermula di sini.

“Rumah Melayu, Rumah Islam, adalah Rumah UMNO. Rumah ini tiangnya setia dan atapnya maruah, dindingnya lelah, serambinya adalah ikrar dan halamannya adalah tanggungjawab. Ini Rumah UMNO dan darah serta sumpah setia. Rumah keramat para ayah dan rumah bakti para ibu. Rumah juang untuk para anak-anak cucu yang membela bangsa ketika bangsa tiada arah,” katanya lagi.

Seterusnya kata Dr Akmal, UMNO perlu terus memperkukuh gerak kerja parti menjelang pilihan raya dengan matlamat yang jelas demi masa depan negara dan rakyat.

“Sebelum menjelang pilihan raya UMNO harus kerja kuat dan mahukan Perdana Menteri Malaysia yang datang daripada UMNO ketika itu. Tapi hakikatnya… kerja keras yang dilakukan pemimpin parti adakah rakyat dapat merasa.

“Kita sudah buat macam-macam. Itulah hakikat yang sebenar malah Menteri dari UMNO sudah melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh amanah dan tanggungjawab, membuktikan keupayaan serta komitmen mereka dalam memastikan kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO