Puteri UMNO Bawa Usul Lanjut Had Umur Ke 40 Tahun Demi Survival Perjuangan – Ummi Nabilah
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Wakil Puteri UMNO, Ummi Nabilah Jamal, hari ini membawa usul penting agar had umur keahlian Puteri UMNO dilanjutkan kepada 40 tahun pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, diluluskan bagi menjamin kesinambungan serta kekuatan sayap parti itu dalam mendepani cabaran masa depan.
Menurutnya, walaupun isu had umur ini sering dibangkitkan, langkah tersebut bukan semata-mata ulangan retorik, tetapi satu keperluan yang amat mendesak demi masa depan pergerakan Puteri.
“Ada suara yang kata Puteri ni tak ada cerita lain, balik-balik cakap pasal usul 40 tahun ni. Kami pun penat juga balik-balik bawa benda yang sama, tapi semua pun diam saja, tak buat apa-apa,” katanya dalam nada tegas yang mendapat sorakan para perwakilan.
Ummi Nabilah menegaskan bahawa perjuangan ini bukan soal legasi atau kepentingan individu, sebaliknya berlandaskan semangat untuk memperkukuh institusi Puteri UMNO sebagai benteng wanita muda dalam parti keramat itu.
“Ayahanda Presiden, kami bukan generasi yang cepat ‘give up’, tapi generasi yang tahu bila perlu ‘stand up’,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan di Dewan Merdeka.
Beliau turut memetik ucapan Timbalan Presiden UMNO sewaktu perasmian Persidangan Sayap dua malam yang lalu yang menyeru agar parti meninggalkan politik nostalgia dan melihat ke hadapan.
“Inilah yang Puteri ingin lakukan. Ini bukan soal legasi, tetapi soal survival Puteri 25 tahun akan datang. Mereka tidak tanya siapa kita dahulu, tetapi apa yang kita buat hari ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sekiranya usul ini diluluskan, ia akan memberi ruang kepada kepimpinan Puteri untuk dibina dengan lebih matang, bersedia dan kukuh, demi melahirkan barisan pelapis yang berkualiti untuk kesinambungan perjuangan UMNO.
“Jika diluluskan, kami boleh bina kepimpinan yang lebih matang, lebih bersedia, dan demi parti yang lebih kuat,” tegasnya lagi.- UMNO Online
