Presiden UMNO Realistik, Berani Demi Kukuhkan Perjuangan Parti – Azman Ismail

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail berpandangan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 jelas menzahirkan kejujuran politik, keberanian kepimpinan serta realisme dalam mendepani landskap politik semasa yang semakin mencabar.

Menurutnya, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sekadar bertujuan mempertahankan kedudukan, sebaliknya merupakan satu refleksi mendalam terhadap perjalanan UMNO sepanjang tempoh tiga tahun menggalas amanah kenegaraan.

“Presiden UMNO menzahirkan kejujuran politik, keberanian kepimpinan, dan realisme dalam menghadapi landskap politik semasa. Ia bukan sekadar ucapan mempertahankan kedudukan, tetapi satu refleksi mendalam terhadap perjalanan UMNO dalam tempoh tiga tahun menggalas amanah kenegaraan.

“Pendekatan ini memperlihatkan kematangan politik dan kesediaan UMNO untuk bercakap benar kepada akar umbi, walaupun pahit untuk diterima. Ucapan beliau berteraskan realiti dan bukan retorik terutama yang bersangkut paut dengan parti seperti cabaran sokongan orang Melayu, hakikat politik gabungan rentas parti dan juga krisis keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa UMNO menolak Pembaharuan Semula Bandar (URA), Pilihan Raya Bandar, ketegasan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan pemerkasaan agenda Islam dan Bumiputera,” katanya kepada UMNO Online.

Azman menegaskan, mesej yang dibawa Presiden UMNO jelas membuktikan bahawa UMNO kekal konsisten dengan asas penubuhannya, walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Seterusnya kata beliau, gagasan UMNO sebagai Rumah Bangsa adalah intipati terpenting yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden UMNO, mencerminkan iltizam parti untuk kembali menjadi wadah penyatuan politik Melayu yang tulen dan berprinsip.

“Pendekatan tersebut jelas menolak politik dendam dan perpecahan, sebaliknya membuka ruang penyatuan semula melalui penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebagai platform inklusif merangkumi semua pihak yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan politik Melayu.

“Ini adalah pendekatan yang berjiwa besar, inklusif dan berpandangan jauh demi kelangsungan politik Melayu. Ia menunjukkan kesungguhan UMNO untuk melakukan pembaharuan dalaman yang tulen, bukan bersifat kosmetik semata-mata,” katanya lagi.

Tambah beliau, ucapan dasar Presiden UMNO itu bukanlah bersifat nostalgia terhadap kegemilangan lampau, sebaliknya satu ucapan hala tuju yang jelas untuk masa depan parti, berteraskan realiti politik semasa serta keperluan membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Dalam masa sama katanya lagi, kenyataan itu jelas menggambarkan haluan UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang lebih realistik dan berteraskan keperluan semasa rakyat.

“UMNO bersedia melakukan penilaian semula secara menyeluruh terhadap bentuk kerjasama politik sedia ada demi memastikan kestabilan dan kekuatan parti terus terpelihara.

“UMNO tidak boleh kekal statik. Penjenamaan semula parti dan Barisan Nasional (BN) akan dilaksanakan secara tersusun agar selari dengan aspirasi semasa rakyat. Fokus utama diberikan kepada usaha memulihkan sokongan orang Melayu serta mendekati golongan muda yang menjadi penentu masa depan politik negara,” jelasnya.

Ujarnya, pendekatan tersebut bukan bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya satu pembaharuan strategik bagi memastikan UMNO kembali diyakini sebagai parti dominan yang memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara secara berkesan dan berwibawa. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO