Pengundi Bandar Pilih Parti Yang Berani Bersuara Isu Mereka – Tengku Zuhri
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz menyifatkan pengundi bandar kini lebih kritikal dan berfikir secara rasional, dengan keputusan undi banyak dipengaruhi oleh keupayaan parti memahami isu yang dekat dengan kehidupan mereka.
Katanya, pendekatan politik berasaskan sentimen semata-mata tidak lagi relevan untuk menambat sokongan pengundi bandar yang semakin berinformasi dan berani menilai prestasi sesebuah parti.
“Bagi pengundi otak bandar, keputusan undi dibuat hampir 100 peratus berdasarkan parti yang berani bersuara tentang isu mereka. Mereka undi bukan kerana Budi, sumbangan dan face-time semata-mata. Jumpalah mereka banyak mana pun, bagi mereka apa pun kalau tidak kena gaya, mereka tidak akan undi kita.
“Pengundi otak bandar hendak lihat kita berani, hendak lihat kita ada idea, dan hendak lihat kita konsisten di ruang yang mereka hidup setiap hari: media sosial, media arus perdana, dan wacana awam.
“Kalau semuanya berlaku “dalam bilik mesyuarat”, kalau semuanya diputuskan dekat tempat cigar, kalau semuanya nak jaga air muka semata-mata, mereka akan anggap itu sekadar diplomasi elitis dan mereka tak nampak UMNO sebagai parti yang berani mempertahankan rakyat,” katanya.
Tengku Zuhri berkata demikian ketika berbahas mewakili Wilayah Persekutuan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Jumaat.
Beliau sementara itu turut menyentuh berkenaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang disifatkan sebagai bukti jelas komitmen UMNO dalam membawa dan mempertahankan suara rakyat secara berprinsip serta bertanggungjawab.
Menurut beliau, di sebalik kemunculan pelbagai reaksi dan polemik politik yang bersifat populis serta ekstrem, UMNO memilih pendekatan matang dengan membuka ruang perbahasan terbuka melalui platform yang tersusun dan inklusif.
“Apabila timbul polemik berkaitan URA. Jika kita masih ingat, ketika itu muncul hero-hero politik Melayu mencadangkan macam-macam kaedah yang ekstremis, tetapi UMNO memilih untuk menganjurkan konvensyen khusus, membahaskan isu secara ilmiah dan konstruktif menuntut pindaan, menuntut perlindungan pemilik, menuntut ketelusan buat rakyat berbilang bangsa.
“Konvensyen ini telah mengangkat suara rakyat yang menegaskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) URA tidak wajar dibentangkan selagi isu asasnya belum diperbetulkan. Ya, bangunan lama perlu dibaik pulih, namun hak pemilik dan penduduk mesti dilindungi sepenuhnya. Pengalaman lalu membuktikan bahawa undang-undang yang tidak jelas hanya membawa kekeliruan dan tekanan kepada rakyat.
“Malah isu RUU ini sendiri masih belum berakhir, tetapi percayalah selagi mana 14 cadangan khusus yang telah dizahirkan di dalam konvensyen ini tidak dipersetujui sepenuhnya, selagi itu kita akan bangkit untuk pastikan RUU ini akan dihalang, suara kami akan kedengaran dan demi rakyat, perjuangan ini akan pasti diteruskan,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
