Menteri Dari UMNO Terbukti Hebat, Persepsi Rakyat Perlu Diubah – Hilmi Elias
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias menegaskan bahawa kehebatan barisan menteri daripada UMNO tidak boleh dipertikaikan, sama ada ketika parti memegang tampuk kuasa penuh mahupun dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, penglibatan menteri-menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan jelas membuktikan kemampuan, pengalaman dan kecekapan mereka dalam mengurus tadbir negara dengan berkesan.
“Tiada sesiapa yang dapat menafikan kehebatan menteri-menteri dari UMNO. Apabila berada didalam Kerajaan Perpaduan ini peratusan Menteri UMNO telah menunjukkan bahawa semuanya adalah menteri-menteri yang terbaik dalam pentadbiran kerajaan ini.
“Tidak ada satu zaman pun yang menyatakan menteri dari UMNO tidak hebat. Semuanya hebat-hebat tapi rakyat tidak melihatnya, mereka melihat dari pelbagai sudut lain. Walaupun nampak bagus tapi akibat fitnah dan adu domba kita kalah ketika pilihan raya lalu.
“Adakah strategi yang sama hendak guna apabila menunjukkan kehebatan Menteri- menteri UMNO dengan harapan rakyat memberikan undi dan kepercayaan kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata Hilmi, barkaitan dengan Rumah Bangsa UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin menjadi pelopor kepada gerakan tersebut.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini sangat bersetuju dengan cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mewujudkan Rumah Bangsa UMNO. Beliau sangat berjiwa besar.
“Kewujudan Rumah Bangsa UMNO ini untuk menghimpunkan mereka semua iaitu yang telah merajuk dan kecewa dan keluar dari landasan. Ada yang tidak bersetuju kerana ada perangai yang suka cucuk mencucuk dan sebagainya,” katanya lagi.
Pada masa yang sama beliau harap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dapat diberikan keampunan penuh.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyerahkan kepada kebijaksanaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terhadap kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Kami mahu keadilan yang sebaik dan sewajarnya kepada Najib Razak, bukan keadilan yang dibentuk oleh tekanan politik atau persepsi awam semata-mata, sebaliknya keadilan yang berpaksikan undang-undang, fakta dan prinsip keluhuran Perlembagaan dan hak asasi setiap warganegara, selaras dengan nilai demokrasi yang menjadi tunjang negara,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, tuntutan keadilan terhadap Najib Razak juga mencerminkan aspirasi rakyat yang mahu sistem keadilan negara terus diyakini dan dihormati. – UMNO Online
