Mahasiswa Masih Perlukan UMNO Sebagai Perjuangan Anak Muda – Amar Aidid

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Timbalan Pengerusi UMNOSiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd Zain menegaskan bahawa UMNO tidak kekurangan sejarah, tetapi parti ini sedang diuji oleh masa depan.

Menurutnya, UMNO bukan sekadar pernah hebat, tetapi masih relevan dan masih diperlukan untuk menjadi rumah perjuangan anak muda.

“Mahasiswa bukan musuh UMNO, mahasiswa bukan penentang perjuangan tetapi mereka hanyalah generasi yang sedang menunggu sama ada parti ini masih mahu berjalan bersama mereka atau terus meninggalkan di persimpangan zaman.

“UMNOmophobia bukan tanda benci, ia tanda harapan yang hampir padam, dan harapan itu hanya boleh dinyalakan semula jika pemimpin UMNO berani turun menyantuni Mahasiswa, berani dengar dan berani berubah.

“Jika UMNO kembali dengan jujur, mahasiswa akan kembali dengan setia. Jika UMNO hadir dengan ikhlas, kampus akan menjadi tapak lahirnya barisan pelapis yang tulen kerana masa depan UMNO tidak ditentukan oleh slogan, tetapi oleh keyakinan anak muda yang sedang belajar, berfikir dan membina hari esok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amar yang juga Timbalan Ketua Penerangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kebangsaan berkata graduan-graduan UMNO yang lepasan universiti kebanyakkannya berasal dari akar umbi dan mereka kurang dipandang oleh pemimpin parti.

“Mahasiswa melihat kekuatan akar umbi parti satu ironi yang besar. Ramai anak muda UMNO berkelulusan tinggi, mereka aktif memimpin di kampus, berpengalaman mengurus organisasi, tetapi kurang diberi ruang untuk berkhidmat bersama kepimpinan.

“Mereka dipanggil ketika kempen, tetapi diketepikan ketika dasar dibentuk. Lebih membimbangkan, agenda pemerkasaan mahasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi masih dirasakan dikawal oleh tangan-tangan tertentu.

“Malah rakan-rakan siswa dari parti sebelah telah bergerak, tetapi kita masih bercakap soal bantuan kewangan, bantuan sokongan, bantuan logistik Sedangkan mereka digerakkan, bukan sekadar bergerak,” katanya lagi.

Ujarnya, apabila mahasiswa dapat dikawal, mereka tidak melawan secara terbuka malah akan melawan secara jauh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO