KULN, UMNOSiswa Pewaris Politik Bela Orang Melayu – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Para pelajar UMNOSiswa dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) memainkan peranan penting sebagai pewaris politik UMNO dalam meneruskan perjuangan membela kepentingan orang Melayu
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyertaan golongan pelajar dalam UMNOSiswa dan KULN bukan sekadar pengisian masa lapang, sebaliknya didorong oleh kesedaran terhadap tanggungjawab mempertahankan kelangsungan politik orang Melayu.

Menurut beliau, generasi muda yang berpendidikan dan berilmu merupakan aset penting dalam memastikan perjuangan UMNO terus relevan serta diyakini rakyat.
“Saya berkesempatan berjumpa dengan KULN dan juga UMNOSiswa, iaitu kelab UMNO dalam institusi pengajian tinggi dalam negara sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pertemuan bersama wakil-wakil pelajar UMNOSiswa dan KULN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC)
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan parti pada masa hadapan.
“Saya gembira dapat berjumpa dengan mereka kerana UMNO meletakkan harapan kepada mereka untuk menjadi pewaris perjuangan parti.
“Penglibatan pelajar dalam UMNOSiswa dan KULN perlu diteruskan walaupun selepas tamat pengajian, sama ada di dalam atau luar negara.
“Saya tekankan kepada mereka supaya minat dan penglibatan dengan UMNO ini diteruskan walaupun setelah mereka tidak lagi berada di universiti. Penyertaan mereka inilah yang boleh membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO,” katanya.

Beliau mengakui bahawa tahap keyakinan orang Melayu terhadap UMNO ketika ini berada pada paras yang rendah dan menjadi antara faktor kepada kelemahan parti.
“Hari ini keyakinan orang Melayu kepada UMNO berada pada tahap yang rendah dan inilah yang menyumbang kepada kelemahan parti. Justeru, mereka inilah yang mungkin mempunyai idea, pandangan dan cadangan bagaimana untuk membangunkan semula keyakinan tersebut,” jelasnya.
“Mahasiswa-mahasiswa UMNO memiliki kelebihan dari segi ilmu, pemikiran dan perspektif baharu yang mampu menyumbang kepada usaha memperkukuh semula parti.
“Dengan ilmu yang mereka ada, merekalah yang boleh membantu mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen golongan muda yang sanggup mempertahankan UMNO walaupun berada di persekitaran yang mencabar merupakan sesuatu yang amat bernilai.
“Walaupun di tempat mereka UMNO mungkin tidak begitu popular, tetapi pendirian mereka untuk menghidupkan UMNO adalah sesuatu yang tidak harus dipersia-siakan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled menyifatkan UMNOSiswa dan KULN sebagai cerminan masa depan UMNO dan sandaran harapan parti dalam meneruskan perjuangan.
“Merekalah cerminan masa depan UMNO dan merekalah harapan UMNO untuk meneruskan perjuangan parti ini,” katanya lagi. – UMNO Online
