Kerajaan Perlu Tambah Baik Kebajikan Pelajar Di Luar Negara – Wakil KULN
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Wakil Kelab UMNO Luar Negara Said Mubarak Said Ahmad menyeru kerajaan menambah baik kebajikan pelajar di luar negara terutama kepada mereka yang tidak mendapat sebarang penajaan kewangan.
Menurut Said Mubarak dari Kelab UMNO Mesir, antara yang dicadangkan adalah seperti skim insurans khas dan isu kos penyewaan rumah yang tinggi.
“Kami kelab UMNO luar negara mencadangkan satu skim insurans khas untuk pelajar Malaysia di Mesir. Sebagaimana telah dinikmati oleh pelajar di negara lain. Ini boleh direalisasikan melalui perjanjian dua hala dengan kerajaan Mesir.
“Juga mahasiswa tajaan MARA (Majlis Amanah Rakyat) di Korea tidak mendapat elaun insurans yang cukup di mana kos insurans semakin meningkat setiap tahun.
“Kedua, isu krisis perumahan di Sydney yang menyebabkan sewa rumah melonjak tinggi. Pelajar-pelajar di bawah tajaan MARA kini menghadapi tekanan besar kerana elaun yang diterima tidak lagi mencukupi. Hampir semua mahasiswa yang belajar di Sydney perlu bekerja sambil belajar demi menampung kos hidup di sini,” katanya dalam sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambahnya, Kelab UMNO Luar Negara mencadangkan agar pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut dalam bidang Islam di Timur Tengah dan Indonesia diberi satu perwakilan rasmi dalam Majlis Ulama UMNO supaya suara generasi baharu turut didengari dalam wacana keilmuan negara.
Begitu juga berkaitan mahasiswa Malaysia dalam bidang perubatan dan agama di Indonesia tidak mendapat sebarang pinjaman pengajian daripada mana-mana agensi kerajaan.
“Mereka harus menanggung kos sara hidup sendiri serta membayar yuran pengajian yang tinggi terutama mahasiswa perubatan. Ada mahasiswa agama yang menerima tajaan daripada beberapa kerajaan yang disokong oleh Pas. Tapi daripada agensi kerajaan federal, tidak dapat,” ujarnya.
Selain itu katanya, isu mahasiswa yang melanjutkan pelajaran di luar negara mengalami masalah pengiktirafan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Lembaga Farmasi Malaysia serta isu ketidakpadanan antara graduan dan pasaran pekerjaan memaksa graduan bekerja di luar bidang pengajian mereka.
“Oleh itu, kami memohon kepimpinan untuk menyediakan latihan kemahiran intensif serta memenuhi kehendak industri supaya graduan yang dilahirkan kelak bukan sahaja pakar tapi dilengkapi kemahiran-kemahiran yang khusus sekaligus menyelesaikan isu yang sekian lama ini,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Said Mubarak turut mengulas mengenai usaha Kelab UMNO Luar Negara berkhidmat kepada warga Malaysia di luar negara tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
“Alhamdulillah melalui jaringan dan hubungan dan sumber kewangan yang agak terhad, kami membantu kebajikan pelajar yang jatuh sakit, yang kehilangan arah, yang terputus sumber kewangan dan yang bergelut dengan tekanan di bumi asing,” katanya.
Bahkan katanya, khidmat bakti yang dihulurkan tidak hanya terhad kepada diaspora Malaysia sahaja.
“Seperti contoh, kelab UMNO di Medan. Mereka menolong bangsa banjir Acheh dengan pertolongan sekretariat Kelab UMNO Luar Negara.
“Kelab UMNO Mesir, alhamdulillah dengan pertolongan sekretariat dan ahli Majlis Kerja Tertinggi, kami dapat menyumbangkan alat-alat medical kepada Gaza dengan jumlah RM500,000,” katanya. – UMNO ONLINE
