Kepimpinan Pelajar KULN, UMNOSiswa Perlu Terus Digilap – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Kepimpinan para pelajar Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dan UMNOSiswa perlu terus digilap secara berterusan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan UMNO pada masa hadapan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, para pelajar kini berada pada fasa penting sebagai barisan pelapis kepimpinan parti dan perlu diberi pendedahan serta bimbingan yang berterusan.

Menurut beliau, proses tersebut perlu merangkumi aspek ilmu, pengalaman dan penglibatan aktif dalam struktur kepimpinan parti di pelbagai peringkat.
“Saya sebutkan kepada mereka bahawa mereka kini berada di peringkat kepimpinan. Jadi, kita perlu terus gilap dan mereka juga perlu memperbanyakkan usaha bersama termasuk dari sudut pengisian ilmu,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini penting untuk memastikan pelajar-pelajar tersebut mampu dibawa naik secara berperingkat dalam struktur kepimpinan UMNO.
“Insya-Allah mereka ini akan kita gilap dan bawa terus naik ke atas, bermula di peringkat cawangan, bahagian dan sebagainya. Akhirnya merekalah yang akan meneruskan kepimpinan UMNO kita,” katanya kepada UMNO Online.
Dr Zambry berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil pelajar KULN dan UMNOSiswa dari dalam dan luar negara.
“Saya berjumpa dengan wakil-wakil pelajar kita, KULN dan juga UMNOSiswa. Alhamdulillah kita dapat berinteraksi dengan baik. Mereka mengusulkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau memaklumkan pelbagai isu dibangkitkan termasuklah mengenai sokongan massa, selain keperluan melibatkan lebih banyak institusi dalam inisiatif sedia ada disokong kementerian berkaitan.
“Mereka turut menyuarakan keperluan pelajar termasuk cadangan agar beberapa institusi lain yang belum terlibat dapat dimasukkan, selain meminta panduan dari segi kepimpinan dan hala tuju perjuangan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Dr Zambry menzahirkan keyakinan terhadap potensi kepimpinan yang ada dalam kalangan mahasiswa UMNO ketika ini.
“Saya dapat lihat potensi besar dalam kalangan pemimpin mahasiswa kita ini. Interaksi mereka dengan saya sangat baik dan ini menunjukkan asas kepimpinan yang boleh dibangunkan untuk masa depan parti,” ujarnya. – UMNO Online
