Kedudukan Melayu Akan Terancam Jika UMNO Gagal Dalam Kerajaan Perpaduan – Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad menegaskan bahawa UMNO kini berada dalam kedudukan politik yang mencabar apabila tidak lagi memiliki kuasa dominan sebagai Kerajaan Persekutuan, malah berdepan tekanan dari segenap penjuru landskap politik negara.

Kata beliau, keadaan itu menyebabkan rakyat mula melihat UMNO sebagai parti yang sering ditekan, sementara kedudukan orang Melayu pula seolah-olah terpinggir dan merempat di tanah air sendiri sekiranya tiada pendirian tegas dalam mempertahankan asas kenegaraan.

“Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu menggunakan segala ruang, kuasa dan kebijaksanaan yang ada bagi mempertahankan kepentingan strategik Melayu sepanjang baki tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Presiden UMNO terus mempertahankan kepentingan Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan serta kedaulatan Majlis Raja-Raja Melayu sehingga tamat penggal pentadbiran ini.

“Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan kepentingan Melayu dan Islam terus dipelihara. Ini bukan soal kuasa semata-mata, tetapi soal amanah dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah beliau, rakyat melihat bukan hanya parti keramat ini ditekan dari segenap penjuru politik, malah, kedudukan bangsa Melayu sendiri seakan merempat di tanah air sendiri.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan menyatakan keyakinan bahawa gagasan ‘Rumah Besar Bangsa’ yang dicetuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan kesinambungan kepada rekod usaha serta pengalaman panjang UMNO dalam menghadapi pelbagai cabaran politik negara.

“Saya percaya, ‘Rumah Besar Bangsa’ ini adalah susulan rekod usaha serta pengalaman UMNO sebelum ini menghadapi cabaran serta rintangan dalam merealisasikan Muafakat Ummah sebelum ini.

“Gagasan ‘Rumah Besar Bangsa’ ini, membawa simbol yang jelas bahawa pemimpin parti pada hari ini tidak pernah putus asa untuk membina semula kekuatan parti dengan pendekatan yang lebih matang, inklusif dan berpandangan jauh.

“Dengan kesedaran ini, ‘Rumah Besar Bangsa’, akan menggamit sokongan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk UMNO kembali dominan dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh ahli dan akar umbi UMNO agar menyambut gagasan tersebut dengan jiwa besar serta meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi perbezaan pandangan demi masa depan UMNO yang lebih kukuh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO