Ada ‘Tangan-tangan Gatal’ Sengaja Usik Garis Merah, Timbulkan Kemarahan UMNO
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yakin dan percaya ada ‘tangan-tangan gatal’ sekarang ini dengan sengaja cuba untuk mengusik garis merah yang sebelum ini telah dipersetujui secara bersama.
Menteri Luar itu tegas berkata, ada pihak yang amat sakit hati keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan dirasakan sebagai ‘duri dalam daging’ kepada mereka.
“Kerana apa? Kerana apa yang mereka hendak bawa kita telah bantah. Apa yang mereka nak buat, kalau UMNO tak setuju dalam Kabinet, maka Kabinet tidak akan dapat persetujuan. Ini yang mereka rasa amat sakit hati.

“Jadi, berbagai usaha dibuat untuk menaikkan emosi, amarah kita dengan harapan besar supaya UMNO tinggalkan kerajaan. Maka bersoraklah mereka jika kita buat begitu, inilah yang mereka nak,” kata Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) tanpa menamakan pihak tersebut.
Mohamad berkata demikian ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini petang tadi.
Seterusnya, jelas Mohamad, apabila UMNO bertindak menarik diri daripada kerajaan, sudah pasti akan berulanglah kembali sikap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 di mana sewenang-wenangnya membuat apa yang disukai kerana tiada suara yang akan membantah serta membangkang dalam apa jua tindakan mereka.
“Hari ini jika Tabung Haji tidak dipaksa menjual tanah di TRX, tanah tersebut dah lima kali ganda harganya. Hotel Tabung Haji dijual tanpa siapa cakap apa-apa, ladang-ladang Tabung Haji dijual begitu sahaja.
“IHH – syarikat pengurusan hospital pakar kedua terbesar di dunia dijual begitu sahaja padahal IHH dulu ditubuhkan oleh Khazanah untuk menempatkan anak-anak Melayu yang kita hantar ramai seperti Dr Akmal (Dr Akmal Saleh) pergi ke Rusia dan lain-lain ke mana-mana. Bila dapat taraf pakar di situ kita nak tempatkan mereka. Dijual bukan untuk dapat duit sangat, tapi mereka tahu hasrat dan roh penubuhan entiti-entiti tersebut.
“Jadi apakah kita hendak mengulangi peristiwa tersebut? Bagi saya, kita perlu fikir panjang-panjang bertindak mesti bijak supaya jangan nanti bak kata Presiden ‘kita jangan terpijak kulit pisang kali kedua’,” katanya lagi.
Begitu juga dengan momokan kepada parti dengan gelaran UMDap sengaja direka cipta untuk menimbulkan kemarahan UMNO dan paling penting katanya UMNO mesti meneruskan agenda Melayu dalam negara.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad mengulas bahawa peranan UMNO penting dalam kerajaan dan berpengalaman sebagai parti yang telah lama mengurus negara.
Tegasnya, sebelum menyertai kerajaan, wujud perjanjian garis merah yang perlu dihormati secara bersama.
“Peranan kita dalam Kerajaan Perpaduan hari ini kita terpaksa bersama-sama untuk mengurus negara. Kita bukan bergabung dengan sesiapa. Kita ada perjanjian sebelum bersetuju untuk menubuhkan kerajaan. Ada garis merah dihormati secara bersama.
“Berhati-hatilah walaupun UMNO dalam kerajaan, jika garis merah ini dilangkaui sama ada kita dalam Kabinet ataupun tidak, jangan ambil kesempatan, kita akan buat keputusan untuk memikirkan semula keberadaan kita dalam kerajaan,” katanya. – UMNO ONLINE
