30 Peratus Kepimpinan Wanita Mesti Diikat Dalam Perlembagaan UMNO – Noraini
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan, bukan rayuan emosi dan retorik persidangan.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata ia merupakan langkah strategik memartabatkan wanita, yang perlu bermula daripada dalam parti sendiri.
“Wanita menekankan peri pentingnya UMNO menetapkan sasaran minimum 30 peratus ini secara berperingkat, terancang.
“…dan yang paling penting, diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti,” katanya.
Noraini berkata demikian ketika ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menyatakan kesungguhan Wanita UMNO melihat parti keramat ini kembali dihormati dan disegani.
“Jika ingin dicari salah, kita lah salahnya, jika ingin bangunkan parti semula, kitalah yang perlu menerajuinya.
“Kita percaya, dalam usaha kita hendak menerajui sistem politik yang adil dan matang, ianya memerlukan satu iltizam politik yang tinggi dan progresif,” ujar beliau.
Sementara itu beliau turut meluahkan kepercayaan bahawa UMNO boleh menjadi pelopor untuk memastikan Akta Pendanaan Politik segera diwujudkan.
Katanya ini bukan sahaja melindungi UMNO malah ini melindungi
demokrasi Malaysia.
“Sekarang masa untuk kita buktikan kepada Malaysia, bahawa UMNO merupakan satu wadah yang berani bertindak,” ujar beliau. – UMNO Online
