UMNO Telah Mencairkan Asas Perjuangan? UMNO Yang Tolak URA, Pilihan Raya PBT
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tanggapan sesetengah pihak terutama pihak lawan yang mengatakan UMNO telah mencairkan asas perjuangan.
Tegas Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, adakah mereka sedar UMNO yang menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan beberapa lagi dasar yang bertentangan semangat perlembagaan.

“Apakah pendirian kita menolak URA dan pilihan raya PBT, yang akan menghakis hak pemilikan dan meminggirkan suara orang Melayu di bandar, boleh dikatakan sebagai mencairkan agenda perjuangan Melayu? UMNO yang menolak kedua-dua ini.
“Apakah kita menolak pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang berat sebelah, dikatakan sebagai tunduk kepada agenda pihak lain?
“Apakah apabila kita membantah UEC yang mencabar sistem pendidikan negara, dikatakan sebagai tanda kita berkompromi? Tentu jawapannya, kita tidak pernah mengorbankan manifestasi perjuangan parti keramat ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Malah ujarnya, ungkapan ‘No Anwar No Dap’ menjadi mantra untuk menggambarkan seolah-olah UMNO mencabuli keputusan yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO.
“Sedangkan, keputusan ‘No Anwar No Dap No Bersatu’ dibuat sebagai pendirian untuk bergerak solo pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) yang lalu.
“Hakikatnya, kita mengambil keputusan bersama kerajaan hari ini setelah ada pihak yang menolak titah Yang Di-Pertuan Agong supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan sesama mereka,” tegasnya lagi.
Jelasnya juga, keberadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di dalam Kerajaan Perpaduan ini juga walaupun atas kepentingan negara, ia telah mengundang keretakan hubungan mesra sesama parti komponen hinggakan ada yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan yang selama ini menjadi tonggak kestabilan negara.
Selain itu katanya, turut diratibkan saban hari keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah untuk menyelamatkan dirinya.
“Zahid dikatakan mengenepikan setiakawannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah, simpati kita, pembelaan kita, solidariti kita kepada beliau menjadi bahan momokan dan dipersendakan.
“Apabila menyebut nama Datuk Seri Najib, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah. Malah, beliau telah menghubungi saya untuk menitipkan salam dengan lafaz Assalamu’alaikum kepada sidang perwakilan semua.
“UMNO, merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar ihsan terhadap hamba Tuanku, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi beroleh apa sahaja pertimbangan dan keringanan untuk membolehkan beliau dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan kepada kami semua. Kepada Tuankulah patik semua memohon ihsan… Daulat Tuanku,” katanya. – UMNO ONLINE
