UMNO Harus Berbangga Kekal Benteng Melayu Dan Islam – Wakil Selangor

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Wakil UMNO Selangor, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata UMNO yang kini bersama dalam Kerajaan Perpaduan akan terus menjadi benteng kepada umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 sebagai wakil pencadang usul, beliau menegaskan peranan tersebut dilaksanakan dengan meletakkan garis sempadan yang jelas, sebagaimana yang ditegaskan dalam ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

 

“Saya tahu ramai di sini memang marah dengan Dap. Saya nak dengar betul-betul. Memang begitu kerana kita bermusuh dengan Dap sejak dahulu. Hari ini, Dap masih membuat tuntutan-tuntutan untuk memenuhi dan menjustifikasikan kedudukannya sebagai parti Cina dan parti India terbesar dalam negara. Mereka terpaksa buat,” katanya.

Namun jelas beliau parti itu akan memberi respons terhadap setiap tuntutan tersebut dan ia tidak bermakna UMNO telah gagal hanya kerana tuntutan itu dibuat.

“Bukan bermakna bila mereka buat tuntutan, UMNO sudah gagal. Ada yang kata sejak UMNO bersama Dap dalam kerajaan, UMNO sudah tidak berani  melawan. Hakikatnya, orang itu baru buat tuntutan, dan tugas UMNO ialah menjadi benteng dalam kerajaan untuk mempertahankan segala perjuanganorang Melayu yang ada. Kita tidak akan memberi laluan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Selayang seterusnya memberi contoh tuntutan Dap berhubung pelaksanaan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Apabila Dap membuat tuntutan supaya pilihan raya PBT diadakan, dia kena buatlah untuk audiens dia…Tetapi adakah UMNO mengizinkannya? Kita tidak mengizinkan,” katanya.

Beliau turut menyentuh tuntutan supaya tapak Kampung Baru Cina diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO.

“Mereka minta supaya tapak Kampung Baru Cina diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO. Adakah UMNO membenarkannya? Kita tidak benarkan,” ujarnya.

Selain itu, beliau merujuk kepada cadangan rang undang-undang perumahan yang disifatkan berat sebelah dan tidak seimbang kerana lebih memenuhi kepentingan pihak pemaju serta konglomerat yang langsung tidak seimbang dalam melindungi penduduk Melayu bandar.

“Apa yang kita buat? Bukan sekadar membantah. Kita membantah, kemudian kita menganjurkan konvensyen yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kita bergasak dalam konvensyen itu sehingga rang undang-undang tersebut ditarik balik. Itulah UMNO.

“Begitu juga UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), apabila mereka memperjuangkan pengiktirafan, saya kata bukan pengiktirafan…sebaliknya untuk meletakkan UEC setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“UMNO tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku. Kita terus membantah. Tidak ada apa yang Dap minta mereka berjaya. Kenapa kita masih dipanggil Umdap dan sebagainya…kerana kita dalam kerajaan itulah ia gagal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO harus berbangga kerana kekal sebagai benteng perjuangan orang Melayu.

“Selagi UMNO menjadi benteng dalam negara ini, perjuangan orang Melayu akan terus dipertahankan dan ia terbukti berjaya,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO