Tiga Tahun Menggalas Amanah Kenegaraan, UMNO Tampil Dengan Prestasi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hampir tiga tahun UMNO menggalas amanah kenegaraan bersama Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan kepentingan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, walau dihujani tohmahan, disimbah dengan cemuhan, dituduh menggadai roh perjuangan, UMNO tetap kekal dengan prinsip kenegaraan, menjunjung amanah bangsa demi menyelamatkan tanah air daripada terjerumus ke lembah ketidakstabilan.

“Segala amanah kenegaraan yang dipikul, bukan semata-mata soal kuasa. Ia adalah pertanggungjawaban untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sesuai dengan neraca Maqasid Syariah. Inilah acuan yang menjadi pedoman dan pegangan kita, selagi mana ditaklifkan dengan amanah, bagi menjalankan pentadbiran Kerajaan.

“Hasilnya, amanah kenegaraan ini tidak terhenti pada keputusan politik semata-mata. Ia diterjemahkan melalui pencapaian dan prestasi. Bersama di dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO telah menjamin negara kembali ke landasan kemakmuran dan kehidupan rakyat dapat disejahterakan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Selanjutnya tambah Ahmad Zahid, hasil sokongan dan kestabilan politik yang dibawa oleh UMNO mampu memberi sumbangan besar kepada pentadbiran negara yang berfungsi dengan baik dan seterusnya memacu kemajuan.

“Dalam tempoh 38 bulan ini, daripada aspek politik dan pentadbiran, Kerajaan Perpaduan dapat berfungsi tanpa sebarang gangguan, berbanding episod 22 bulan dan 17 bulan pada penggal Parlimen Ke-14 yang lalu.

“Untuk itu saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dapat memimpin negara dengan baiknya. Kejayaan YAB PMX mengekalkan kerajaan hingga ke hari ini tentunya berkat dukungan semua parti-parti yang bergabung di dalam Kerajaan Perpaduan.

“38 bulan ini, negara menikmati pengukuhan ekonomi. Pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang mampan, ringgit yang mengukuh dari RM4.18 berbanding dollar pada Jan 2022 kini RM4.09 berbanding 1 dollar Amerika , pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 16.9 billion dollar Amerika pada tahun 2023 meningkat kepada 19 billion dollar Amerika pada 2025, pengangguran menurun, malah, kadar kemiskinan dapat dikurangkan, dan pelbagai bantuan dapat disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu katanya, UMNO yang diberi tanggungjawab menerajui beberapa kementerian penting telah menunjukkan prestasi yang amat baik seperti memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan hubungan antarabangsa serta memelihara kedaulatan negara.

“38 bulan yang telah berlalu, pemerkasaan pendidikan terus diberikan penekanan melalui Agenda TVET Negara yang membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda menceburi bidang pekerjaan dengan gaji premium.

“38 bulan ini juga, Malaysia boleh berbangga, berada di pentas antarabangsa. Kita menjadi pemain yang aktif dalam membela nasib saudara kita di Palestin, kita berjaya mempertahankan maruah dan kedaulatan negara dalam isu Sulu. Tahniah buat Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi. Selain itu kejayaan dalam tempoh ini kita dengan jayanya dapat melaksanakan tanggungjawab Kepengerusian ASEAN,” katanya.

Selain itu ujarnya, UMNO terbukti berperanan penting dalam menjaga agenda agama dan Bumiputera.

“Apa yang lebih penting, 38 bulan ini juga, pemantapan agenda Islam dan Bumiputera dapat kita terjemahkan melalui Dasar Tahfiz Negara 2.0, pendidikan Pra-Tahfiz KEMAS bagi lebih 100 ribu kanak-kanak setiap tahun, program Ulul Albab di semua 58 MRSM, pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia setaraf Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3, melahirkan golongan Huffaz Profesional, semuanya telah dapat kita laksanakan dengan jayanya.

“Begitu juga kejayaan kita mewujudkan Suruhanjaya Ekonomi Gig yang dipengerusikan oleh tokoh kepimpinan UMNO hasil daripada usul yang kita bawa pada Perhimpunan Agung tahun 2023.

“Malah, Kongres Ekonomi Bumiputera yang saya pengerusikan dan dicadangkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2023, telah terlaksana yang melahirkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuT ERA35),” tambahnya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO