Rumah Bangsa Satukan Kekuatan, UMNO Tunjang Kestabilan Politik Negara
KUALA LUMPUR, 16 Jan – UMNO perlu terus memainkan peranan sebagai ‘Rumah Bangsa’ yang menyatukan kekuatan Melayu dan Islam, serta bersedia menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa yang semakin kompleks juga mencabar.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara jelas menggariskan hala tuju parti untuk bergerak ke hadapan tanpa menafikan sejarah serta asas perjuangan UMNO.

“Presiden telah menjelaskan bahawa UMNO hari ini berada dalam satu realiti politik yang lahir daripada kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Banyak parti politik Melayu terbentuk dan berakar daripada UMNO itu sendiri.
“Hakikat tersebut membuktikan bahawa UMNO sejak dahulu merupakan tunjang dan asas kepada kestabilan politik negara, walaupun parti itu pernah melalui fasa kelemahan serta kehilangan sokongan.
“UMNO sentiasa menjadi ukuran kestabilan. Walaupun rumah itu pernah bergoyang, Presiden menegaskan bahawa rumah UMNO masih berdiri dan tetap utuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Mawar, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.
Menurut Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), cadangan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti kemasukan semula bekas ahli atau pihak tertentu adalah langkah berhemah yang mencerminkan sifat demokratik parti.
“Pembukaan pintu itu bukan seluas-luasnya dan penutupannya juga bukan serapat-rapatnya. Sebab itu jawatankuasa diwujudkan untuk menilai sejauh mana pintu itu perlu dibuka atau ditutup.
“UMNO bukan parti yang membuat keputusan secara unilateral, sebaliknya setiap langkah perlu melalui proses perbincangan dan mengambil kira pandangan akar umbi.
“UMNO ini parti besar dengan perlembagaan dan tatacara sendiri. Kita perlu dengar suara ahli di bawah sebelum melangkah ke fasa seterusnya,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, Azalina berkata Presiden UMNO telah menyatakan pendirian yang konsisten bahawa parti kekal setia dan komited dalam kerajaan sedia ada.
“Tidak pernah timbul isu untuk meninggalkan kerajaan atau ‘tebuk atap’. UMNO telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan menteri-menteri kita menjalankan amanah secara jujur serta berdisiplin.
“Politik hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada sentimen kaum dan agama semata-mata, sebaliknya perlu memahami keperluan serta cabaran ekonomi yang dihadapi rakyat.
“Pengundi hari ini lebih menilai keupayaan parti dan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan kehidupan mereka. Kesetiaan tidak lagi bersifat automatik,” katanya lagi.
Beliau turut menyentuh kepelbagaian landskap politik di setiap negeri yang menuntut pendekatan berbeza mengikut realiti setempat.
“Isu dan cabaran di negeri SG4 tidak sama dengan Johor, Melaka atau Pahang. Kita tidak boleh lagi guna satu naratif atau satu polisi untuk semua negeri.
“Cadangan Presiden agar Barisan Nasional (BN) dinilai semula dari sudut penjenamaan dan struktur adalah satu langkah strategik demi memastikan gabungan itu kekal relevan dan berdaya saing.
“Jika kita kekal dengan struktur lama tanpa menambah kekuatan, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Perubahan itu perlu dipertimbangkan secara matang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO perlu terus membuka ruang dialog yang matang dan berfakta dalam memperjuangkan agenda Melayu serta Islam.
“Kalau kita benar-benar mahu memperkukuh kepentingan Melayu, kita perlu duduk berbincang secara tersusun, bukan sekadar beretorik politik,” katanya. – UMNO Online
