Rumah Bangsa: Ahmad Zahid Berjiwa Besar Seru Penyatuan Melayu – Shamsulkahar

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Keikhlasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjiwa besar terserlah apabila beliau menyeru semua parti politik Melayu agar kembali bersatu di bawah satu payung penyatuan bangsa iaitu UMNO.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, seruan tersebut membuktikan komitmen parti dalam memastikan perpaduan orang Melayu terus diperkukuhkan demi kestabilan negara.

Katanya, Ahmad Zahid telah mengajak semua parti politik Melayu untuk bersatu secara total di bawah penyatuan Melayu yang lebih tersusun dan berkesan.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada semua parti-parti politik Melayu ini bersatu di bawah penyatuan Melayu secara total. Insya-Allah akan diwujudkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa di negara ini.

“Sekarang kita sedang menghadapi cabaran politik yang kritikal iaitu perpecahan parti-parti Melayu yang boleh melemahkan orang Melayu dalam negara. Maka sudah menjadi tanggungjawab dan kewajipan UMNO sebagai parti teras utama untuk menyeru semula semua parti Melayu agar dapat duduk semeja, berunding dan mencari titik persamaan demi menguatkan perpaduan masyarakat.

“UMNO adalah rumah asal parti Melayu di negara ini sepertimana penubuhannya pada tahun 1946 dan ia juga adalah hasil gabungan kelab-kelab serta persatuan-persatuan Melayu yang bersatu demi mempertahankan hak dan masa depan bangsa,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Shamsulkahar, UMNO berdepan krisis keyakinan susulan perpecahan yang agak teruk dalam kalangan parti-parti Melayu.

“UMNO menghadapi krisis keyakinan kerana perpecahan yang agak teruk juga dari kalangan parti-parti Melayu yang mana kepimpinan parti-parti ini dulunya datang daripada UMNO. Maka sudah tentulah kita mahu memastikan negara ini terus stabil, kuat dan makmur.

“Kekuatan parti-parti politik Melayu perlu digembleng secara bersama kerana ia merupakan tunjang utama dalam memastikan kelangsungan kestabilan serta kemakmuran negara. Maka sudah tentulah kekuatan parti politik Melayu ini yang akan terus menjadi tunjang utama untuk urus tadbir negara kita,” ujarnya.

Seterusnya, kata beliau, UMNO sebelum ini telah membuktikan ketegasan pendiriannya apabila membantah dengan sekeras-kerasnya beberapa usaha yang cuba diketengahkan, termasuk cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan serta pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

“UMNO terus membantu memperkuatkan dan memperkasakan agama Islam. Baru-baru ini ada usaha-usaha untuk mengembalikan UEC, pilihan raya bandar dan URA, namun UMNO membantah dengan sekeras-kerasnya desakan tersebut.

“Penolakan UMNO terhadap desakan tersebut adalah selari dengan prinsip parti yang sentiasa meletakkan Islam, orang Melayu dan kestabilan negara sebagai keutamaan dalam setiap dasar dan keputusan politik,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, pendirian itu mencerminkan komitmen UMNO untuk memastikan keharmonian masyarakat serta kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO