Kematangan Pemuda Cerminan Kekuatan UMNO – Wakil MKT
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Faizal Ramli melihat perbahasan yang dibangkitkan oleh para wakil Pemuda bukanlah sekadar bersifat emosi atau retorik semata-mata, tetapi lahir daripada keprihatinan mendalam terhadap nasib parti, masa depan perjuangan, serta kedudukan UMNO dalam landskap politik negara hari ini.
“Ada suara yang lantang, ada teguran yang keras, dan ada juga cadangan yang berani. Namun satu perkara yang jelas, semuanya berpaksikan kepada rasa tanggungjawab serta kecintaan yang mendalam terhadap UMNO,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Agung Pemuda UMNO, di Dewan Merdeka Khamis petang.
Menurut beliau, inilah wajah Pemuda yang diharapkan berani menegur, tegas mempertahankan prinsip, namun tetap setia dan berdisiplin dalam gerak kerja parti.
Sepanjang perbahasan, Mohd Faizal yang mewakili wakil MKT UMNO bersama Datuk Hasmuni Hasan serta Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ke persidangan Pemuda UMNO berkata, jelas wujud satu kesamaan yang besar dalam kalangan wakil Pemuda, iaitu keinginan untuk melihat sayap itu terus relevan, berprinsip, dan menjadi suara yang membina kepada UMNO.
“Teguran yang diberi bukan untuk melemahkan, tetapi untuk memperkukuh. Cadangan yang dibawa bukan untuk memecah belah, tetapi untuk memperbaiki. Inilah kematangan yang kita harapkan daripada barisan Pemuda…berani bersuara namun tetap beradab serta tegas menyatakan pendirian namun tidak mengorbankan ukhuwah dan persaudaraan,” katanya.
Katanya lagi UMNO tidak boleh bergerak secara bersendirian, namun dalam masa yang sama parti itu tidak boleh hilang jati diri.
“Kerjasama politik, strategi pilihan raya dan pendekatan pentadbiran mestilah sentiasa berpaksikan kepada kepentingan rakyat serta kelangsungan perjuangan parti,” tegas beliau.
Dalam hal ini, katanya, Pemuda perlu memainkan peranan sebagai jambatan antara idealisme dan realiti, memastikan suara akar umbi sampai ke peringkat tertinggi dan hala tuju parti terus relevan dengan aspirasi generasi baharu. – UMNO Online
