Simposium Politik Era Digital 2026 Buka Tirai PAU 2025
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Simposium Politik Era Digital 2026 menjadi pembuka tirai kepada Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, hari ini.
Simposium berkenaan dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia sebagai platform perbincangan strategik bagi membincangkan landskap politik semasa yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi digital, media sosial serta perubahan corak pemikiran pengundi, khususnya generasi muda.
Program ini diadakan menerusi tiga sidang sesi pleno, yang menghimpunkan pemimpin parti bagi berkongsi pandangan dan idea ke arah memperkukuh peranan UMNO dalam era digital.

Setiap sesi pleno memberi tumpuan kepada topik berbeza, antaranya transformasi politik digital, strategi komunikasi berkesan dalam media baharu, serta cabaran dan peluang politik nasional menjelang pilihan raya akan datang.
Penganjuran simposium ini dilihat sebagai langkah awal UMNO untuk memperkukuh kesiapsiagaan parti dalam mendepani cabaran politik semasa, selari dengan aspirasi Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang menekankan pembaharuan, kestabilan dan kelangsungan perjuangan parti.
Dalam perkembangan lain, pendaftaran perwakilan dari seluruh negara juga bermula pagi ini melibatkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pada sebelah petang, taklimat Presiden UMNO akan diadakan secara tertutup bertempat di Dewan Merdeka, yang dijangka memberi penjelasan serta hala tuju parti menjelang persidangan penuh.
Sementara itu, pada sebelah malam, Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan berlangsung dan bakal disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Perasmian itu menandakan bermulanya persidangan sayap-sayap UMNO yang akan berbahas dan membincangkan pelbagai isu termasuk pengukuhan parti, agenda rakyat serta persiapan menghadapi cabaran politik semasa.
Perhimpunan Agung UMNO dijangka menjadi platform penting dalam menentukan hala tuju dan strategi parti bagi tempoh akan datang. – UMNO Online
