PAU 2025 Perkukuh Kesatuan, Persiapan Hadapi PRN, PRU16 – Manndzri Nasib

TENGGARA, 14 Jan – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menegaskan bahawa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 merupakan detik kemuncak yang amat penting dalam usaha menyediakan parti menghadapi beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Menurut beliau, PAU 2025 wajar dijadikan medan untuk memperkukuhkan kesatuan, muafakat dan keyakinan dalam kalangan ahli serta kepimpinan parti agar perjuangan dapat digerakkan secara lebih tersusun dan berkesan.

“PAU 2025 adalah detik klimaks menyediakan parti untuk beberapa PRN dan PRU16. Ia wajar menjadi medan memperkuat kesatuan, muafakat dan keyakinan,” katanya kepada UMNO Online sempena PAU 2025.

Manndzri turut menekankan keperluan untuk meneliti secara menyeluruh gerak kerja parti dalam tempoh yang masih berbaki supaya pucuk pimpinan dapat membuat keputusan secara realistik serta merangka perancangan yang strategik.

Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan kesetiaan ahli terhadap perjuangan parti terus diperkukuh selari dengan cabaran politik semasa.

Selain itu, beliau berpandangan PAU 2025 harus dijadikan platform sumbang saran berkaitan khidmat di setiap peringkat, dengan memanfaatkan baki kuasa pentadbiran yang masih diamanahkan melalui beberapa kerajaan negeri dan kementerian.

“Kuasa yang dipinjamkan Tuhan ini perlu dimanfaatkan secara bijaksana dan maksimum supaya dapat memberi faedah kepada rakyat serta memperkukuh persiapan parti dalam mendepani pilihan raya akan datang,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 akan berlangsung bermula 14-17 Jan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Ia akan bermula dengan Simposium Politik Era Digital 2026 yang akan diadakan pada sebelah pagi, diikuti Taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara tertutup serta Majlis Perasmian Sayap Serentak oleh Timbalan Presiden UMNO pada sebelah malam.

Ini akan diikuti persidangan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO secara berasingan. Pada Jumaat, kemuncak PAU 2025 akan bermula dengan upacara menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa diikuti persidangan yang dimulakan dengan ucapan dasar sebelum ia diteruskan dengan sesi perbahasan perwakilan.

Pada Sabtu, sesi perbahasan perwakilan bersambung sebelum sesi penggulungan dan sidang media penutup pada hari terakhir perhimpunan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO