PAU 2025 Medan Kupas Idea, Suara Wanita Diperkasa – Norliza

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) terus menjadi medan penting untuk mengupas idea, mencambahkan pemikiran serta memberi ruang kepada ahli-ahli parti menyuarakan pandangan secara terbuka demi memperkukuh agenda masa depan UMNO, khususnya melibatkan peranan Wanita UMNO.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata PAU 2025 bukan sekadar perhimpunan tahunan, sebaliknya platform strategik untuk berhimpun, berbincang dan merangka hala tuju parti dalam mendepani cabaran politik semasa serta keperluan rakyat.

Menurut beliau, Wanita UMNO akan terus memainkan peranan signifikan dalam memperjuangkan usul-usul yang menyentuh kepentingan golongan wanita, termasuk cadangan penetapan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus pembabitan wanita dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan parti. Bagi memastikan bilangan wanita dalam pembuat keputusan tercapai,dasar dan polisi parti perlu dimasukkan elemen kuota wanita dalam perlembagaan.

“PAU adalah ruang terbaik untuk kita mengupas idea, mencambahkan pemikiran dan membincangkan agenda masa depan parti. Wanita UMNO akan terus bersuara secara konstruktif bagi memastikan peranan wanita diiktiraf dan diperkasakan dalam struktur kepimpinan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penglibatan wanita dalam kepimpinan bukan sekadar memenuhi angka, tetapi bagi memastikan perspektif wanita diambil kira dalam setiap dasar dan keputusan strategik parti, selari dengan realiti semasa dan aspirasi masyarakat.

Norliza turut menekankan bahawa PAU 2025 menjadi wadah penting untuk mengangkat martabat parti sebagai perjuangan demi agama, bangsa dan negara, sejajar dengan asas penubuhan UMNO yang kekal relevan sehingga kini.

“PAU ini adalah ruang untuk bersuara, berhimpun dan memperkukuh kesatuan. Segala perbahasan dan pandangan yang dibawa bertujuan memastikan UMNO terus menjadi parti yang membela nasib rakyat serta mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

Tambah beliau, Wanita UMNO juga komited memastikan suara akar umbi didengari, khususnya berkaitan isu kos sara hidup, kebajikan keluarga, pembangunan wanita dan generasi muda, serta kestabilan politik negara.

Jelasnya lagi, PAU 2025 akan menjadi titik tolak kepada pembaharuan dan pengukuhan parti, dengan Wanita UMNO memainkan peranan sebagai tonggak penting dalam memastikan parti terus relevan, inklusif dan diyakini rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO