PAU: Jangan Terperangkap Dengan Perbezaan, Jadikan Sumber Kekuatan Parti – Akmal Zharif
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung saban tahun terus menjadi medan penting memperkukuh perjuangan parti, bukan sahaja dalam kalangan ahli dan pendokong UMNO, malah sebagai ruang menilai keupayaan parti mendepani cabaran politik semasa.
Seiring dengan itu, Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO yang menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara menjadi platform strategik dalam menyatukan pemikiran serta memperkasakan peranan generasi muda sebagai tunjang masa depan parti.
Ketua Pemuda UMNO Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal menegaskan bahawa persidangan tersebut bukan sekadar ruang perbahasan, sebaliknya medan membina kesepaduan, memperhalusi strategi dan memperkukuh kesetiaan terhadap perjuangan parti keramat itu.
“Pemuda UMNO perlu tampil sebagai suara penyatu yang membawa idealisme perjuangan berteraskan realiti semasa rakyat, bukan terperangkap dalam perbezaan yang boleh melemahkan kekuatan parti,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau berkata, setiap pandangan dan cadangan yang dibangkitkan oleh para pembahas perlu dinilai secara matang dan diterjemahkan kepada tindakan yang mampu mengukuhkan keyakinan rakyat, khususnya golongan muda, terhadap UMNO.
“Kita mesti memastikan setiap lontaran idea daripada akar umbi menjadi input berharga kepada kepimpinan parti agar UMNO terus relevan, berdaya saing dan diyakini dalam landskap politik yang semakin mencabar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Akmal Zharif turut mengingatkan agar masing-masing kekal berdisiplin serta menjunjung semangat setiakawan demi memastikan agenda perjuangan parti tidak terganggu oleh perbezaan pandangan dalaman.
“Perbezaan pendapat adalah lumrah, namun ia perlu diurus dengan hikmah dan kebijaksanaan. Fokus utama kita adalah memperkukuh parti, mempertahankan maruah UMNO dan terus berkhidmat untuk rakyat,” tambah beliau.- UMNO Online
