Noraini Seru Ahli UMNO Jadikan PAU 2025 Medan Penyatuan, Pengukuhan Perjuangan Parti

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad mengalu-alukan kehadiran seluruh perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri dari seluruh negara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dari 14 hingga 17 Januari 2026.

Menurut beliau, PAU 2025 bukan sekadar persidangan tahunan, malah merupakan medan tertinggi perjuangan parti dalam menyatukan pemikiran, tekad dan iltizam ahli demi memperkukuh semula peranan UMNO sebagai payung harapan rakyat dan tonggak kestabilan negara.

“Perhimpunan ini bukan sekadar pertemuan tahunan, tetapi wadah untuk kita menyatukan fikrah, tekad dan iltizam bagi mengukuhkan kembali perjuangan UMNO sebagai payung harapan rakyat dan tonggak kestabilan negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Noraini turut menegaskan bahawa setiap perbahasan dan keputusan yang dibuat sepanjang persidangan perlu dipandu oleh hikmah serta kebijaksanaan, dengan mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Semoga setiap pandangan dan keputusan yang dizahirkan sepanjang persidangan ini berlandaskan kepentingan agama, bangsa dan tanah air, serta membawa kebaikan kepada rakyat dan negara,” jelas beliau.

Beliau juga menyeru semua perwakilan agar bersidang dalam semangat perpaduan walaupun berbeza pandangan.

“Bersidanglah dengan satu semangat, berbeza dengan adab dan berpadu demi masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih gemilang,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO