Johari Ghani Alu-Alukan Kehadiran Perwakilan Ke Perhimpunan Agung UMNO 2025

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani mengalu-alukan kehadiran seluruh perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri dari seluruh negara ke Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula hari ini hingga 17 Januari 2026.

Beliau berkata, PAU perlu dijadikan sebagai platform terbaik untuk memperkukuh hubungan sesama ahli serta memperjelas hala tuju dan perjuangan parti demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Menurutnya, perbezaan pandangan dalam kalangan ahli wajar diraikan secara matang dan penuh kebijaksanaan, manakala persamaan matlamat perlu dijadikan asas untuk memastikan semua pihak bergerak seiring dalam memperkukuh perjuangan parti.

“Perhimpunan ini adalah medan penting untuk menyatukan kekuatan dan memperteguh iltizam demi masa depan UMNO,” katanya.

PAU 2025 diadakan selama empat hari selepas ditangguh daripada jadual asal pada 26 hingga 29 November 2025 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Dilaporkan, kira-kira 6,400 perwakilan UMNO dari 191 bahagian akan berkampung di WTCKL yang dijangka memeta hala tuju parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang mungkin berlangsung lebih awal, jika kerajaan mahu tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak serta Johor dijalankan secara serentak. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO