Istiqamah Dan Kesinambungan Kerja, Kunci Kekuatan UMNO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Sekolah Patriotik UMNO (SPU) merupakan institusi pembinaan pemikiran, watak dan jiwa perjuangan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menasihati para patriot agar terus istiqamah dan konsisten dalam perjuangan, khususnya dalam memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi.

Menurutnya, kekuatan sebenar perjuangan terletak pada kesinambungan usaha mendekati rakyat yang digerakkan secara tersusun, bermula dari peringkat negeri, bahagian dan cawangan hingga ke peringkat pusat.

“Yang penting harus ada istiqamah, kesinambungan kerja-kerja yang menyantuni akar umbi, kepimpinan di peringkat negeri, bahagian, cawangan dan pusat. Bermulalah dari bawah… Insya-Allah kita naik dengan tidak memijak orang lain tetapi dinaikkan oleh dukungan bawah dan akan berada di sana.

“Istiqamah dalam perjuangan, ujian pasti datang. Kita mesti mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing untuk menyambung ulang tahun UMNO ke 100 pada tahun 2046 dan tunjangnya adalah para patriot dari SPU.

“Kami mahu melihat Perdana Menteri ketika itu terdiri daripada patriot yang dilahirkan dari SPU ini. Keyakinan ini ditambah bukan hanya kerana modul yang diwujudkan tetapi melihat ‘keluarbiasaan’ para patriot berada di lapangan terutama apabila diuji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu. Prestasi patriot masa PRN Sabah adalah luar biasa dengan kerja-kerja parti,” katanya ketika merasmikan Konvokesyen SPU di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola SPU Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pemandu SPU, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan kagum dengan tenaga pendidik apatah lagi jawatankuasa yang menganjurkannya.

“Saya kagum dengan tenaga pengajar SPU serta jawatankuasa yang terlibat, dan lebih kagum lagi terhadap komitmen Pengerusi Lembaga Pengelola SPU, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang merealisasikan penubuhan sekolah tersebut.

“Para Patriot bukan sahaja dididik dalam aspek keduniaan, malah turut dibekalkan dengan persiapan untuk kehidupan akhirat, sekali gus mewujudkan keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi.

“Seorang pemimpin harus mempunyai kombinasi yang baik, dan inilah yang diajarkan dalam modul kepada pelajar SPU. Yang paling penting, mereka dididik untuk sentiasa berpandangan ke hadapan,” katanya.

Tambah Pengerusi BN lagi, kekuatan UMNO sejak awal penubuhannya hingga kini terletak pada semangat perjuangan yang lahir daripada akar umbi, digerakkan oleh barisan patriot yang setia dan tidak pernah luntur kesetiaan mereka.

“Azam kami adalah untuk melihat UMNO bangkit semula dengan semangat perjuangan yang diasaskan oleh para patriot sejak generasi pertama hingga ke generasi seterusnya.

“UMNO akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-100 pada tahun 2046 atau lebih awal, dan kami mahu memastikan roh perjuangan itu terus hidup dan bersama-sama para patriot,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO